Keputusan kes gangguan seksual babit ahli politik dijangka November ini

LocalPolitics
23 Oct 2025 • 4:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Keputusan sama ada seorang ahli politik berusia 55 tahun akan disabit atau dibebaskan daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita empat tahun lalu dijangka dibuat pada November tahun ini.

Bagaimanapun tarikh sebenar keputusan bagi kes Phillip Among masih belum ditetapkan oleh Mahkamah Majistret.

Keputusan itu sepatutnya disampaikan pada Rabu selepas peringkat pembelaan selesai namun telah ditangguhkan.

Phillip didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita pada 17 April 2021 sekitar jam 11 malam di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.

Pada 10 Jun 2021 Phillip mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan 10 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala hanya seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Arfa Anchal Khan mengendalikan pendakwaan manakala Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili Phillip.

Sementara itu Mahkamah Sesyen menetapkan 24 November tahun ini bagi sebutan semula kes melibatkan seorang pengusaha restoran berusia 41 tahun yang didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Hakim Hurman Hussain menetapkan tarikh tersebut bagi tertuduh Mohamad Khan Bayani selepas perbicaraan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan.

Penangguhan itu dibuat selepas peguam bela Datuk Rakhbir Singh yang mewakili Mohamad memohon penangguhan kerana terlibat dalam perbicaraan lain.

Rakhbir turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah menghantar surat representasi berhubung kes tersebut.

Mohamad didakwa meminta remaja itu melakukan seks oral terhadapnya pada jam 7 pagi, 3 Januari 2024, di sebuah homestay di Manggatal dekat sini.

Kes tersebut dikendalikan oleh TPR Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.