
Kota Kinabalu: Kota Kinabalu menyasarkan untuk menjadi Bandar Sastera Unesco kedua di rantau Asean selepas Jakarta, dengan keputusan dijangka diumumkan hujung tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS), Datuk Dr Ramzah Dambul.
Beliau berkata inisiatif itu bukan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa tetapi berfungsi sebagai platform strategik untuk mengangkat seni, bahasa dan budaya tempatan ke pentas global.
“Pengiktirafan ini boleh meletakkan Kota Kinabalu sebagai hab bagi aktiviti kesusasteraan, seni persembahan, penulisan kreatif dan program pertukaran budaya – sekali gus mewujudkan nilai ekonomi baharu untuk Sabah,” katanya semasa merasmikan pameran Fresh Line: Exploring Sabah through Five Artistic Voices di Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Rabu.
Teks ucapanya disampaikan oleh Ketua Pusat Pengurusan IDS, Victor Sikain.
Ramzah berkata status Unesco itu akan memperkukuh industri kreatif Sabah dengan membuka peluang kepada kerjasama rentas sektor, mempromosikan pelancongan berasaskan budaya dan meningkatkan daya saing antarabangsa bakat tempatan.
“Di IDS, kami percaya industri kreatif bukan sekadar aktiviti sampingan tetapi satu sektor ekonomi yang mempunyai potensi besar. Ia bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah membentuk identiti dan nilai masyarakat kita,” katanya.
Platform seperti Galeri Azman Hashim, tambahnya, memberi peluang kepada pelajar dan artis muda untuk berinteraksi dengan dunia profesional, mempamerkan bakat mereka serta memahami bagaimana kreativiti boleh diterjemahkan kepada inovasi dan pembangunan.
Namun, Ramzah turut mengakui cabaran berterusan dalam sektor seni dan budaya termasuk peluang komersial yang terhad, kekurangan ruang pameran tetap, serta sokongan dasar yang masih belum mencukupi.
“IDS memainkan peranan penting dalam menjambatani penyelidikan, dasar dan pelaksanaan. Kita mesti melangkaui pelan di atas kertas – yang paling penting ialah mewujudkan ekosistem yang hidup dan dinamik di mana bakat, institusi, pasaran dan komuniti boleh berkembang bersama,” katanya.
Beliau menekankan bahawa seni dan budaya berfungsi sebagai bahasa sejagat yang merentas sempadan, mencerminkan nilai dan aspirasi bersama.
“Pembangunan negeri yang mampan bukan hanya tentang infrastruktur dan ekonomi — ia juga mesti memperkasakan identiti budaya serta ekspresi kreatif,” tambahnya.
Ramzah turut menyatakan harapan agar kerjasama antara IDS dan UMS akan menjadi model kepada kesinambungan sinergi antara dunia akademik, badan penyelidikan dan industri kreatif.
“Semoga kerjasama ini menjadi inspirasi kepada masa depan Sabah yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Pameran Fresh Lines yang disokong oleh IDS itu bertujuan mengetengahkan bakat muda dan menggalakkan dialog mengenai perkembangan seni kontemporari Sabah. Ia menampilkan 20 karya oleh artis muda Sabah – Asru Wali, Jasper Junior, Rizalman, Sylvernie dan Eve Eftasonia.
Karya mereka merangkumi potret introspektif, simbolisme dan tafsiran abstrak tentang tempat serta memori – membentuk naratif visual yang menghubungkan masa lalu, kini dan masa depan Sabah yang diimaginasikan.
Turut hadir ialah Pengarah Galeri Azman Hashim UMS Prof Madya Dr Mohd Puad Bebit dan Pengarah Program Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Asru Lakmal Wali.




