
Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan keputusan kerajaan pimpinannya dahulu menerima hanya RM53.4 juta dalam bentuk geran khas untuk Sabah dengan alasan ketika itu belanjawan negara berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata, isu tersebut bukan soal menolak peruntukan, sebaliknya memastikan hak perlembagaan Sabah dipenuhi.
Bekas Ketua Menteri itu mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yang sebelum ini berkata kerajaan GRS-Plus menolak jumlah berkenaan hingga memaksa kerajaan Persekutuan menaikkannya kepada RM200 juta sementara menunggu penyelesaian isu berkaitan.
“Kita bersetuju dengan peruntukan itu, tetapi formula yang digunakan kita tidak setuju,” kata Shafie sambil menjelaskan bahawa ketika Warisan memerintah, belanjawan negara hanya sekitar RM200 bilion berbanding RM400 bilion ketika ini.
“Kita faham cabaran kewangan negara waktu itu. Isu ini perlu diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman,” katanya pada sidang media di sini, Selasa.
Beliau menjelaskan terdapat perbezaan antara geran khas, yang bersifat budi bicara serta tertakluk kepada rundingan, dengan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil cukai yang dikutip di negeri ini.
“Geran khas ini satu hal — Sabah dan Sarawak sama-sama menerimanya dan perlu dirunding.
“Tetapi 40 peratus hasil cukai itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia datang daripada kumpulan wang disatukan dan wajib dikembalikan kepada Sabah. Ini tidak perlu rundingan,” tegasnya.
Shafie turut menekankan pencapaian pentadbiran Warisan bukan sekadar dari segi kewangan, tetapi juga kejayaan memperoleh autonomi kehakiman untuk Sabah dan Sarawak.
“Pelantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak dengan autonomi penuh tidak pernah berlaku sebelum ini. Kini, kes yang berlaku di Sabah tidak perlu lagi dibawa ke Semenanjung. Siapa yang laksanakan ini? Kerajaan Warisan bersama Pakatan Harapan pada waktu itu,” katanya.
Mengenai peruntukan Belanjawan, Shafie berkata Warisan tetap menyokongnya kerana Sabah memerlukan dana berkenaan, khususnya bagi pembayaran gaji penjawat awam serta operasi ekonomi. Namun pelaksanaannya perlu lebih telus dan berkesan.
“Contohnya, lebih RM60 bilion diperuntukkan untuk pendidikan. Dana ini mesti disalurkan ke kawasan yang benar-benar memerlukan,” katanya sambil menegaskan masih banyak kekurangan dalam sistem kesihatan Sabah.
“Sabah hanya mempunyai seorang pakar bedah kardiotorasik. Pesakit terpaksa ke Kota Kinabalu untuk pembedahan jantung walaupun peruntukan besar diberikan kepada Kementerian Kesihatan.
“Masih ada sekolah kayu di Sabah, sekolah tanpa kemudahan air yang sempurna. Peruntukan yang ada perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya mengikut keperluan sebenar,” katanya.
Mengulas mengenai calon pilihan raya negeri akan datang, Shafie berkata senarai calon Warisan akan diumumkan sebelum hari penamaan selepas proses tapisan dan semakan undang-undang selesai.
“Kita sudah minta peguam pastikan calon kita bebas daripada kes jenayah atau isu perundangan. Kita mahu bersiap sepenuhnya,” katanya.
