KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa yang berkaitan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dihormati dan dilaksanakan mengikut undang-undang.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penghormatan terhadap kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya sekadar dizahirkan melalui kata-kata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi tindakan.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah memperjelaskan bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan selain semua syarat yang ditetapkan juga telah dipenuhi.
"Seri Paduka Baginda juga telah mengingatkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan mesti dihormati.
"Memandangkan keputusan tersebut telah dibuat oleh Seri Paduka Baginda menurut kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan susulan nasihat yang dikemukakan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, maka pihak berkuasa yang berkaitan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keputusan itu dihormati dan dilaksanakan mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada September lalu.
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Baginda turut bertitah bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat itu tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain yang melibatkan bekas Perdana Menteri berkenaan.
Menurut Ka Siong, satu fakta penting yang tidak boleh diketepikan ialah Peguam Negara sendiri menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, sebarang persoalan undang-undang berkaitan pelaksanaan keputusan tersebut perlu dijelaskan segera melalui saluran perundangan yang sah dan bukannya dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaannya.
"Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan keputusan berkenaan merupakan soal pendapat peribadi, namun menghormati kedudukan perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dan sistem Raja Berperlembagaan bukanlah satu pilihan.
"Memartabatkan kedaulatan undang-undang dan menjunjung kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang saling bercanggah.
"Penghormatan sebenar tidak diukur daripada betapa lantangnya seseorang melaungkan taat setia, tetapi sama ada tindakannya secara konsisten menjunjung kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong serta kemuliaan sistem Raja Berperlembagaan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa keputusan yang dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan berdasarkan undang-undang, manakala sebarang persoalan yang memerlukan penjelasan hendaklah diselesaikan tanpa penangguhan yang tidak wajar.






