Keputusan Syariah isu zakat TH wajar dihormati – Mufti Pahang

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 7:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan Syariah isu zakat TH wajar dihormati – Mufti Pahang

PETALING JAYA: Isu zakat Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2016 hingga 2019 tidak melibatkan isu persoalan tidak sah zakat yang telah dibayar sebaliknya berkaitan penelitian terhadap akad yang digunakan ketika itu.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak pernah membuat kesimpulan bahawa zakat yang dibayar TH bagi tempoh tersebut adalah tidak sah.

Katanya, ia membincangkan kedudukan syariah dan perundangan berkaitan akad antara TH dan pendeposit serta mencadangkan penambahbaikan.

“Isu yang dibincangkan dalam Laporan RCI bukanlah mengenai sah atau tidak sahnya zakat yang telah dibayar.

“Ia tidak boleh difahami secara terpisah sehingga membawa kepada kesimpulan bahawa zakat yang telah dibayar oleh TH adalah tidak sah atau tidak harus,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Asmadi berkata, selaras dengan syor RCI, isu berkenaan telah dirujuk kepada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui pembentangan yang dibuat oleh TH pada 24 Jun 2024.

Katanya, langkah itu membuktikan penyelesaian isu tersebut dilakukan mengikut saluran Syariah yang sewajarnya dan bukan berdasarkan pandangan individu atau spekulasi awam.

“Penelitian syariah yang dibuat selepas 2018 mendapati konsep akad wadiah yang digunakan sebelum itu tidak dapat diaplikasikan secara sempurna berikutan kedudukan perundangan TH yang tidak membenarkan konsep tersebut dilaksanakan sepenuhnya.

“Hakikat hubungan antara TH dan pendeposit lebih menghampiri konsep pengurus dana dengan pelabur, sekali gus membolehkan pengiraan zakat dibuat berdasarkan pendekatan zakat perniagaan.

“Atas dasar tersebut, Jawatankuasa Syariah TH memutuskan pendekatan pengiraan zakat yang digunakan bagi tempoh tersebut masih boleh diterima menurut Syariah.

“Keputusan ini dibuat selepas meneliti keseluruhan fakta, dokumen dan realiti operasi TH berdasarkan prinsip fiqh yang muktabar,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan dalam pelaksanaan sesuatu akad tidak semestinya membatalkan keseluruhan hubungan syariahnya khususnya apabila hakikat transaksi masih memenuhi ciri-ciri utama akad berkenaan.

Menurutnya, pendekatan mengesahkan transaksi masyarakat yang telah berlaku serta mengelakkan kesukaran kepada umat atau raf’ al-haraj turut menjadi antara asas pertimbangan Jawatankuasa Syariah dalam menangani isu tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, isu berkenaan tidak lagi timbul dalam operasi TH ketika ini selepas institusi itu memperkemaskan struktur akad dengan menggunakan akad wakalah sejak 2019 yang lebih lengkap serta mematuhi kehendak Syariah dan perundangan.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu menghormati keputusan institusi syariah yang dibuat melalui proses ijtihad oleh pakar yang diberi mandat mengikut undang-undang.

“Adalah tidak wajar sesuatu isu yang telah melalui proses penelitian Syariah yang panjang disederhanakan sehingga menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keabsahan ibadah atau kewajipan agama,” katanya. – UTUSAN

The post Keputusan Syariah isu zakat TH wajar dihormati – Mufti Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved