SHAH ALAM - Penjelasan menyeluruh Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim mengenai status pelunasan zakat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) diharap membantu meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya dalam kalangan pendeposit berhubung proses pengurusan dan pembayaran yang dilaksanakan oleh institusi itu.
TH dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, Asmadi yang juga bekas Ahli Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji telah menghuraikan secara menyeluruh proses pengurusan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit yang sah.
"TH menyambut baik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkaitan pelunasan zakat TH yang mengikut hukum syarak.
"Beliau yang juga merupakan salah seorang bekas ahli pesuruhjaya RCI TH telah memberikan butiran penjelasan menyeluruh bagi kefahaman masyarakat secara amnya dan para pendeposit khususnya berkaitan proses pengurusan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit yang sah dan diperakui melalui proses ijtihad yang berautoriti," katanya.
TH pada Rabu memaklumkan, status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus menepis sebarang keraguan berhubung amalan pembayaran zakat institusi itu.
Menurutnya, Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 berpandangan, status pembayaran zakat bagi pendeposit untuk tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
Dalam pada itu, TH dalam kenyataan sama turut memaklumkan, pihaknya juga akan terus memastikan pelunasan zakat bagi pihak pendeposit dilaksanakan mengikut prinsip syariah serta mematuhi garis panduan yang telah diluluskan oleh JPS institusi berkenaan.
Tambahnya lagi, institusi itu turut berharap masyarakat terus memberikan sokongan dan kekal yakin dengan pengurusan dalam menguruskan amanah kepada lebih 9.8 juta pendepositnya.
"TH komited dalam mematuhi operasi dan tadbir urus zakat berpandukan garis panduan zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah yang dianggotai oleh pakar-pakar syariah dan kewangan Islam," katanya.






