KUANTAN – Isu zakat Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2016 hingga 2019 tidak melibatkan persoalan sah atau tidak sahnya zakat yang telah dibayar, sebaliknya membabitkan penelitian terhadap akad yang digunakan ketika itu.
Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, perkara itu tidak boleh difahami secara terpisah sehingga membawa kepada kesimpulan bahawa zakat yang telah dibayar TH adalah tidak sah atau tidak harus.
Menurutnya, perkara yang dibincangkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah bagi menjelaskan kedudukan syariah dan perundangan serta mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan, bukannya untuk memutuskan zakat yang dibayar TH sebagai tidak sah.
"RCI turut mengesyorkan supaya isu berkenaan dirujuk kepada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan cadangan itu telah dilaksanakan TH melalui pembentangan pada 24 Jun 2024.
"Ini menunjukkan proses penyelesaian isu itu dilaksanakan melalui saluran syariah yang sewajarnya, bukannya berdasarkan pandangan individu atau spekulasi awam," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Dr Asmadi berkata, dalam sesuatu keadaan yang telah berlaku, kedudukan sebenar akad perlu dianalisis berdasarkan hakikat transaksi, bukan semata-mata label akad.
Katanya, walaupun pada suatu ketika TH menggunakan istilah akad wadiah, kajian selepas tahun 2018 mendapati kedudukan perundangan TH sebenarnya tidak membenarkan konsep tersebut diaplikasikan secara sempurna kerana ia tidak memberi ruang kepada institusi itu untuk meminjam dana seperti yang berlaku dalam operasi sebenar.
"Atas sebab itu, penelitian syariah mendapati tabiat sebenar hubungan antara TH dan pendeposit lebih menghampiri hubungan pengurus dana dan pelabur, berbanding dengan konsep wadiah, walaupun terdapat beberapa ketidaksempurnaan dalam pelaksanaannya ketika itu.
"Dalam fiqh muamalat, penentuan hukum tidak hanya bergantung kepada nama sesuatu akad, bahkan turut mengambil kira hakikat, tujuan dan kesan sebenar sesuatu transaksi," ujarnya.
Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Syariah TH memutuskan pendekatan pengiraan zakat yang digunakan bagi tempoh itu masih boleh diterima menurut syariah selepas meneliti keseluruhan fakta, dokumen dan realiti operasi TH.
"Hubungan antara TH dan para pendeposit telah wujud, difahami dan diamalkan sehingga membolehkan pengiraan zakat dibuat menurut pendekatan zakat perniagaan.
"Keputusan ini bukan dibuat secara mudah, sebaliknya merupakan hasil penelitian syariah yang mengambil kira prinsip-prinsip fiqh muktabar bagi memastikan ibadah zakat dijalan secara benar, telus dan teratur," jelas beliau.
Tambahnya, dalam fiqh Islam, sesuatu akad tidak semestinya menjadi terbatal hanya kerana terdapat ketidaksempurnaan dalam aspek pelaksanaannya.
Katanya, kewujudan beberapa kelemahan dari sudut dokumentasi atau pelaksanaan tidak boleh terus dijadikan asas untuk menafikan keseluruhan kesan hukum yang telah diputuskan melalui ijtihad.
"Pendekatan mengesahkan transaksi masyarakat dan mengangkat kesukaran merupakan prinsip yang diiktiraf dalam syariah.
"Dalam isu-isu muamalat yang telah lama berlaku, para fuqaha sentiasa mengutamakan pendekatan yang mengesahkan transaksi masyarakat selagi mempunyai asas yang sah di sisi Syariah serta mengelakkan kemudaratan dan kesukaran kepada umat," ujarnya.
Justeru itu, Dr Asmadi berkata, pendekatan itu yang menjadi antara asas pertimbangan Jawatankuasa Syariah dalam menangani isu ini.
"Isu ini tidak lagi berbangkit bagi operasi TH pada masa kini kerana sejak tahun 2019, TH telah memperkemaskan struktur akad dengan menggunakan akad wakalah yang dilaksanakan secara lebih lengkap dan menepati keperluan Syariah serta perundangan.
"Oleh itu, pendeposit tidak perlu bimbang terhadap kedudukan operasi TH pada hari ini malah masyarakat juga perlu menghormati keputusan institusi syariah yang dibuat melalui proses ijtihad yang berautoriti," jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, perbezaan pandangan dalam isu fiqh suatu perkara yang lumrah namun apabila sesuatu isu telah diteliti secara mendalam dan diputuskan oleh Jawatankuasa Syariah yang diberi mandat menurut undang-undang serta dianggotai oleh para pakar yang berkelayakan, maka keputusan tersebut sewajarnya dihormati.
"Adalah tidak wajar sesuatu isu yang telah melalui proses penelitian syariah yang panjang disederhanakan sehingga menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keabsahan ibadah atau kewajipan agama," katanya.






