IPOH – Kematian seorang ibu bersama dua anaknya yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di sini pada Khamis berkemungkinan akibat keracunan gas karbon monoksida.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa telah selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Jumaat.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa kemungkinan keracunan gas karbon monoksida.
"Bagaimanapun, siasatan polis masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melengkapkan siasatan dari semua aspek.
"Kes masih diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan analisis saintifik serta laporan berkaitan bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.
Katanya, masyarakat juga diminta menghormati privasi serta menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa sepanjang siasatan dijalankan.
Terdahulu media melaporkan seorang ibu bersama dua anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di sini pada malam Khamis.
Hasil pemeriksaan polis di lokasi mendapati ketiga-tiga mangsa iaitu seorang wanita berusia 46 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 12 dan 11 tahun merupakan warga tempatan.
Pihak polis turut ditemui sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa pembakaran arang di dalam bilik tersebut.




