Kerajaan akan bantu perkemas, martabat institusi pondok – PM

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 4:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan akan bantu perkemas, martabat institusi pondok – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membantu memperkemas dan memartabatkan institusi pondok termasuk dalam aspek kemudahan fizikal, disiplin ilmu serta pengenalan bidang pengajian baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah awal, beberapa institusi pondok akan dipilih untuk menjadi perintis kepada tradisi baharu ilmu berdasarkan pengkhususan serta manhaj tarbiah atau disiplin masing-masing.

“Sejak merdeka 1957, kerajaan bertukar ganti, inilah kali pertama kita bantu. Saya mahu tekankan, kerana banyak orang pertikai. Saya tidak akan tentukan kurikulum (pondok), bukan bidang saya.

“Cuma saya usulkan usaha untuk meningkatkan martabat dan kedudukannya, termasuk ilmu dan disiplin baharu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026, di sini, hari ini.

Anwar berkata, institusi pondok juga perlu didedahkan kepada disiplin baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menurutnya mempunyai potensi besar sebagai alat dalam dakwah dan pembangunan umat Islam.

“AI ini adalah senjata penting dalam dakwah dan kebangkitan Islam, dan AI tanpa sistem etika dan akhlak boleh menjadi masalah dan musuh utama yang akan menikam kita.

“AI itu bahayanya ada, sama seperti telefon atau komputer. Jadi mesti latih juga anak-anak di pondok untuk menguasai (AI),” katanya.

Perdana Menteri, berkata usaha memperkukuh institusi pondok juga perlu mengambil kira kepelbagaian laluan pendidikan pelajarnya dan tidak semestinya semua institusi berkenaan perlu melahirkan ulama.

“Kalau kita katakan semua pondok ini harus lahirkan semua ulama, tak boleh juga. Sebahagiannya khusus (bidang keagamaan).

“Sebahagiannya nak pergi (menceburi) kejuruteraan ke, nak jadi juruterbang ke, nak (sertai) bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), saya berpandangan tak ada masalah. Sekurang-kurangnya dia ada asas ilmu, agama yang cukup,” katanya. – Bernama

The post Kerajaan akan bantu perkemas, martabat institusi pondok – PM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved