
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan pekerja terus dilindungi walaupun di luar waktu pejabat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, skim berkenaan akan meluaskan perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan dan kecederaan tidak terikat kepada jadual tertentu.
Pengenalan skim itu, katanya, adalah hasil kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti hanya di pintu kilang atau pintu pejabat.
“Dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara hidup serta cara orang bekerja pada masa kini,’’ katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau memberitahu, proses itu turut merangkumi pendigitalan bagi memastikan perlindungan sosial disampaikan dengan lebih berkesan.
Februari lalu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dilaporkan berhasrat melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan perlindungan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Sementara awal bulan ini, Sim berkata Kesuma sedang merangka pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).- 29 September, 2025
The post Kerajaan akan perkenal skim lindungi pekerja di luar waktu pejabat: PM appeared first on Scoop.


