Kerajaan belum dapat laksana semula GST, bimbang kesan cukai bertindih dan bebankan rakyat - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan belum dapat laksana semula GST, bimbang kesan cukai bertindih dan bebankan rakyat - Amir Hamzah Image from: Kerajaan belum dapat laksana semula GST, bimbang kesan cukai bertindih dan bebankan rakyat - Amir Hamzah amree29/10/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt — Kerajaan belum memilih untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengambil kira kemampuan rakyat serta mengelakkan kesan cukai bertindih terhadap perniagaan, ketika usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara diteruskan menerusi Belanjawan 2027.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebaliknya kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan menilai semula impaknya terhadap pengguna dan sektor perniagaan.

 

Pada masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk menerusi kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja.

 

"Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kadar gaji minimum baharu itu bagi mengambil kira kemampuan perniagaan kecil," jelas beliau.

 

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis, Amir Hamzah berkata kerajaan turut merangka kerangka gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir pada kadar permulaan RM2,500 sebulan.

 

Selain itu, kadar Gaji Kehidupan Wajar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 mulai 2027, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 230,000 pekerja.

 

Amir Hamzah
Foto BERNAMA

 

Bagi membantu pekerja gig, kerajaan dan Grab bersetuju membiayai bersama pakej RM160 juta untuk meningkatkan pendapatan bersih bulanan pemandu e-hailing sehingga RM227 dan penghantar p-hailing sebanyak RM100, sementara rundingan mengenai kadar pendapatan minimum masih berlangsung.

 

Dalam usaha meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pertengahan (M40), kerajaan turut menaikkan pelepasan cukai individu kepada RM12,000 serta mengurangkan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan antara RM70,000 hingga RM150,000. 

 

"Langkah berkaitan cukai itu dianggarkan memberikan lebihan pendapatan sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai," jelas Amir Hamzah.

 

Pada masa sama, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion. Bantuan SARA bulanan dinaikkan sehingga RM150 berbanding RM100 pada 2026, manakala penerima di bawah eKasih boleh menerima sehingga RM250 sebulan.

 

Bagi merangsang kegiatan perniagaan, kerajaan turut mengurangkan kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai sehingga RM600,000, dengan penjimatan sehingga RM6,000 bagi setiap syarikat. Kemudahan pinjaman dan jaminan berjumlah RM57 bilion turut disediakan, manakala pembiayaan mikro ditingkatkan kepada RM6.6 bilion.

 

Amir Hamzah berkata perbelanjaan Persekutuan bagi 2027 diunjurkan meningkat kepada RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion perbelanjaan pembangunan. Peruntukan keseluruhan Sabah dan Sarawak pula meningkat masing-masing kepada RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion.

 

Dari segi kedudukan fiskal, kerajaan menyasarkan defisit fiskal dikurangkan kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, berbanding anggaran 3.6% pada 2026, sebelum mencapai sasaran 3% pada 2028. 

 

Nisbah hutang Persekutuan pula diunjurkan menurun kepada 63.7% daripada KDNK pada 2027. Kerajaan turut memperuntukkan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala program Bakat MADANI menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan baharu untuk golongan muda pada 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved