Kerajaan belum putuskan sama ada akan dedahkan siasatan pegangan saham Azam Baki, Dewan Rakyat dimaklumkan

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan belum putuskan sama ada akan dedahkan siasatan pegangan saham Azam Baki, Dewan Rakyat dimaklumkan Image from: Kerajaan belum putuskan sama ada akan dedahkan siasatan pegangan saham Azam Baki, Dewan Rakyat dimaklumkan hamden25/11/2026 - 10:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Kerajaan masih belum memutuskan sama ada laporan siasatan jawatankuasa khas berhubung dakwaan pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan didedahkan kepada umum atau dibentangkan di Parlimen.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu dengan mengambil kira peruntukan undang-undang berkaitan data peribadi, dokumen siasatan sulit dan rekod pengisytiharan aset.

 

“Kerajaan akan mempertimbangkan perkara berkenaan sewajarnya, sekiranya terdapat keperluan, dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan mengenai keputusan Jemaah Menteri terhadap laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung pegangan saham mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang diteliti pada 11 Mac 2026.

 

Ka Siong turut bertanya sama ada laporan tersebut dan hasil siasatan PDRM mengenai dakwaan 'mafia korporat' akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

 

Azalina berkata, Jawatankuasa Siasatan Khas yang ditubuhkan pada 13 Februari sudah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, manakala hasil siasatan berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

 

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan keputusan Jemaah Menteri berhubung laporan itu atau memberikan tempoh masa bagi keputusan mengenai pendedahannya kepada umum.

 

Menurutnya, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi yang difikirkan sesuai untuk diumumkan kepada orang ramai akan dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pada 31 Mac.

 

Sebelum ini, kerajaan menyatakan bahawa hasil siasatan berhubung isu pegangan saham itu akan didedahkan kepada umum selepas semua siasatan berkaitan selesai.

 

Pada 11 Mac, Jemaah Menteri memutuskan bahawa tindakan lanjut berhubung isu pegangan saham berkenaan akan dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

 

Dalam mesyuarat sama, Jemaah Menteri turut mengarahkan agensi penguatkuasaan, termasuk polis, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), meneruskan siasatan terperinci berhubung dakwaan manipulasi korporat.

 

Siasatan itu turut merangkumi kemungkinan wujudnya kelompangan undang-undang serta pelucuthakan hasil yang disyaki mempunyai unsur jenayah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved