Kerajaan belum putuskan tahanan rumah pakai gelang kaki

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 11:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan belum putuskan tahanan rumah pakai gelang kaki

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memuktamadkan beberapa mekanisme utama bagi pelaksanaan tahanan rumah termasuk kewajipan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus.

Selain itu, kategori pelawat yang dibenarkan untuk menemui individu yang menjalani tahanan rumah juga masih belum diputuskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara tersebut masih dalam proses pemuktamadan kerana tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dimuktamadkan.

“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus, serta kategori pelawat yang dibenarkan, masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini kerana aspek-aspek tersebut tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard yang sedang dimuktamadkan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman  sesawang Parlimen, hari ini. 

Beliau menjawab Lim Lip Eng (DAP-Kepong) meminta menteri menyatakan bilangan perintah tahanan rumah yang pernah dikeluarkan, sama ada seseorang yang dikenakan tahanan rumah diwajibkan pemantauan CCTV, memakai alat pemantauan elektronik seperti gelang kaki elektronik atau peranti khas lain serta jenis pelawat yang dibenarkan melawat individu berkenaan.

Mengulas lanjut katanya lagi, kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan satu kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu dipertimbangkan untuk menjalani tahanan di rumah sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada perintah tahanan rumah yang dikeluarkan di bawah undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah.

“Pada masa ini belum ada perintah tahanan rumah yang dikeluarkan di bawah suatu undang-undang khusus mengenai tahanan rumah, memandangkan penggubalan rang undang- undang berhubung dengan tahanan rumah masih dalam proses pemuktamadan dan semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya. 

Dalam pada itu, Saifuddin turut menjelaskan bahawa penempatan seseorang di rumah susulan keputusan pengampunan bersyarat adalah perkara yang berbeza daripada perintah tahanan rumah yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.

Katanya, pengampunan bersyarat merupakan prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pengampunan berkenaan.

“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan oleh mahkamah di bawah suatu akta khusus,” katanya.-UTUSAN

The post Kerajaan belum putuskan tahanan rumah pakai gelang kaki appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved