Kerajaan disaran lanjutkan tempoh pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak kepada 10 tahun galak pengusaha berdaftar

LocalFamily & Parenting
28 May 2026 • 8:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan disaran lanjutkan tempoh pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak kepada 10 tahun galak pengusaha berdaftar Image from: Kerajaan disaran lanjutkan tempoh pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak kepada 10 tahun galak pengusaha berdaftar johardy28/05/2026 - 08:10 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei - Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM) mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh sah pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak daripada lima tahun kepada 10 tahun bagi menggalakkan lebih banyak pengusaha yang belum berdaftar tampil mengesahkan operasi mereka secara sah.

 

Pengasas dan Pengerusi PPJKKM, Simon Ng berkata, persatuan itu menggesa semua pusat jagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara supaya segera melengkapkan proses pendaftaran bagi memastikan persekitaran pembelajaran dan penjagaan yang lebih selamat, tersusun serta dipantau dengan baik untuk kanak-kanak.

 

Beliau berkata, sistem pendaftaran yang lebih menyeluruh bukan sahaja dapat memperkukuh profesionalisme industri, malah meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar.

 

“Pendaftaran amat penting kerana ia membantu menyeragamkan prosedur operasi, langkah keselamatan serta kualiti pengajaran dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kurangkan beban pentadbiran pengusaha

Menurut Ng, ramai pengusaha kini berdepan tekanan operasi yang semakin meningkat termasuk kos tenaga kerja, latihan kakitangan serta peningkatan kos operasi perniagaan yang menjadikan perancangan jangka panjang semakin mencabar.

 

Beliau berkata, lanjutan tempoh sah pendaftaran kepada 10 tahun dapat membantu mengurangkan beban pentadbiran akibat proses pembaharuan yang kerap, sekali gus membolehkan pengusaha memberi lebih tumpuan kepada peningkatan kualiti pendidikan dan kebajikan pelajar.

 

“Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak bukan sahaja mengurus pembelajaran selepas sekolah dan keselamatan pelajar, malah memikul tanggungjawab operasi yang besar.

 

“Sekiranya tempoh pendaftaran dapat dilanjutkan secara munasabah, pengusaha akan dapat merancang pembangunan jangka panjang dengan lebih berkesan serta meningkatkan kecekapan pengurusan keseluruhan,” katanya.

 

Galak pembangunan industri lebih profesional

Simon Ng menegaskan, persatuan itu akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyuarakan kebimbangan serta keperluan pemain industri.

 

Beliau berharap kerjasama lebih kukuh antara kerajaan dan pemain industri dapat mempercepat pembangunan ekosistem pusat jagaan kanak-kanak yang lebih profesional, sistematik dan diyakini masyarakat di Malaysia.

 

Persatuan itu percaya usaha menggalakkan lebih ramai pengusaha mendaftar secara sah akhirnya akan menyumbang kepada standard keselamatan yang lebih tinggi, jaminan kualiti yang lebih baik.

 

"Selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sektor tersebut, khususnya dalam kalangan ibu bapa bekerja yang memerlukan perkhidmatan penjagaan selepas sekolah yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka,'' kata Ng. - DagangNews.com

Terkini standard