Kerajaan gesa sektor swasta laksana BDR kurangkan kos

LocalBusiness & Finance
24 Apr 2026 • 12:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kerajaan gesa sektor swasta laksana BDR kurangkan kos

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan menggesa majikan sektor swasta melaksanakan amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta mengekang tekanan kos operasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof berkata langkah itu mampu mengekalkan produktiviti dan moral pekerja dalam situasi ekonomi mencabar, lapor portal berita MalaysiaGazette.

“Saya menyeru para majikan agar mempertimbang aturan kerja fleksibel seperti yang telah dilaksanakan dalam sektor awam.

“Ini termasuk melalui amalan BDR demi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-30 di Wisma Hasil, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Fadillah menegaskan sektor swasta perlu berubah dan tidak lagi bergantung kepada kaedah lama.

“It is no longer business as usual. Inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi dan mencambah nilai tambah serta kemampanan,” katanya.

Beliau turut menggesa majikan lebih fleksibel dan pragmatik dalam mengurus operasi bagi menghadapi tekanan kos semasa.