Kerajaan guna pendekatan NDI nilai kelayakan bantuan

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 3:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan guna pendekatan NDI nilai kelayakan bantuan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan pendekatan pendapatan boleh guna bersih (NDI) pada 2027 bagi memastikan penilaian kelayakan bantuan mengambil kira faktor demografi dan liabiliti selain pendapatan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata pendekatan itu lebih adil berikutan mengambil kira perbelanjaan asas dan faktor sosiodemografi dalam penilaian kedudukan isi rumah.

“Kerajaan akan memastikan setiap apa yang kita laksanakan ini akan mengambil kira bukan hanya kepada golongan bawahan tetapi juga merangkumi semua spektrum masyarakat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sama ada kerajaan bercadang melaksanakan pelan tindakan khusus bagi memperkukuh kedudukan ekonomi kelas menengah, merangkumi peningkatan pendapatan, pengurangan tekanan komitmen asas dan perluasan perlindungan sosial.

Terdahulu, menjawab soalan asal Jalaluddin mengenai penilaian kerajaan terhadap kedudukan sebenar kelas menengah, Mohd Shahar berkata dasar tidak boleh bergantung kepada anggaran pendapatan kasar semata-mata.

“Kementerian Ekonomi sedang berbincang dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek rintis untuk memahami impak pelaksanaan pendekatan NDI terhadap kedudukan fiskal negara,” kata beliau.

Beliau berkata berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kumpulan M40 mempunyai pendapatan kasar bulanan antara RM5,860 hingga RM12,679, dengan purata RM8,744 sebulan.

Dari segi perbelanjaan, beliau berkata data DOSM menunjukkan hampir 70 peratus pendapatan M40 dibelanjakan untuk kos asas, merangkumi perumahan dan utiliti sebanyak 22.7 peratus, makanan sebanyak 34.1 peratus serta pengangkutan sebanyak 10.6 peratus.

“Setelah ditolak komitmen perlindungan perubatan, baki pendapatan pada hujung bulan amat tipis,” katanya.

Sementara menunggu kaedah pengukuran baharu itu dimuktamadkan, Mohd Shahar berkata kerajaan menerusi Belanjawan 2027 menyediakan langkah untuk meringankan beban rakyat, termasuk kelas pertengahan meliputi aspek perumahan, pendidikan, kesihatan, percukaian dan gaji.

Beliau berkata sebahagian bantuan kerajaan juga telah mula beralih kepada pendekatan bantuan sejagat seperti BUDI95 dan Bantuan Awal Persekolahan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara umum termasuk golongan kelas menengah.

Mengenai had pendapatan bagi kategori B40, M40 dan T20, beliau berkata had itu berubah mengikut survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah yang dilaksanakan dua kali dalam setiap Rancangan Malaysia.

Sebagai contoh, Mohd Shahar berkata julat pendapatan M40 meningkat daripada RM5,250 hingga RM11,819 pada 2022 kepada RM5,860 hingga RM12,679 pada 2024.

Survei seterusnya akan dilaksanakan pada 2027 dengan hasilnya diterbitkan pada 2028, katanya. – BERNAMA

The post Kerajaan guna pendekatan NDI nilai kelayakan bantuan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved