Kerajaan kaji penggunaan elektrik dan air pusat data bagi elak pembaziran sumber, Parlimen diberitahu

LocalTechnology
13 Oct 2026 • 3:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan kaji penggunaan elektrik dan air pusat data bagi elak pembaziran sumber, Parlimen diberitahu Image from: Kerajaan kaji penggunaan elektrik dan air pusat data bagi elak pembaziran sumber, Parlimen diberitahu liza13/10/2026 - 15:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Kerajaan mencadangkan supaya pengendali pusat data menjana bekalan elektrik sendiri sebagai sebahagian daripada usaha menilai semula penggunaan sebenar tenaga dan air sektor berkenaan.

 

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, cadangan itu membolehkan pengendali pusat data memilih sumber tenaga sendiri, termasuk tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga menggunakan bateri.

 

Beliau berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang mengkaji keperluan elektrik sebenar pusat data susulan perbezaan ketara antara kapasiti beban maksimum yang diperuntukkan dengan penggunaan elektrik sebenar kemudahan berkenaan.

 

Penggunaan elektrik sebenar jauh lebih rendah

“Setakat Ogos 2026, sebanyak 45 daripada 62 pusat data yang menandatangani perjanjian bekalan elektrik telah mula beroperasi.

 

“Pusat data yang beroperasi itu mempunyai kapasiti beban maksimum gabungan sebanyak enam gigawatt (GW), namun penggunaan elektrik sebenar hanya sekitar 1.37GW.

 

“Perbezaan itu mendorong kerajaan meneliti keperluan sumber tenaga sektor berkenaan bagi memastikan perancangan bekalan elektrik mengambil kira penggunaan sebenar pusat data,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu berkenaan bekalan elektrik dan air yang tinggi untuk operasi pusat data dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Abdul Rahman berkata, beliau telah mengemukakan cadangan supaya pengendali pusat data membangunkan kemudahan penjanaan elektrik sendiri, termasuk menggunakan tenaga solar dan bateri sebagai pilihan sumber tenaga.

 

Bagaimanapun, cadangan itu masih dalam pertimbangan dan belum dinyatakan sebagai keperluan mandatori yang berkuat kuasa.

 

Pusat data mungkin perlu sediakan bekalan air sendiri

Selain elektrik, kerajaan turut mempertimbangkan supaya pusat data yang terletak berhampiran kolam atau sumber air lain membangunkan sistem bekalan air sendiri untuk kegunaan di premis masing-masing.

 

Langkah itu bertujuan mengelakkan operasi pusat data menjejaskan ketersediaan bekalan air kepada pengguna lain.

 

Menurut Abdul Rahman, kementerian sedang meneliti keperluan sebenar sumber yang digunakan sektor itu, selain menilai sama ada sesetengah pusat data mampu memberikan manfaat yang bermakna kepada negara.

 

Tenaga boleh baharu disasar 70% menjelang 2050

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu dengan menyasarkan sumber berkenaan merangkumi 35% daripada jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara menjelang 2030 dan meningkat kepada 70% menjelang 2050.

 

Setakat 1 September 2026, tenaga boleh baharu menyumbang hampir 32% daripada kapasiti terpasang Malaysia, bersamaan kira-kira 14,000 megawatt (MW).

 

Sebanyak 10,000MW hingga 11,000MW kapasiti tenaga boleh baharu tambahan dijangka beroperasi menjelang 2030 berdasarkan program yang diumumkan serta rancangan sektor swasta.

 

Usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu ketika keperluan tenaga bagi sektor berintensifkan elektrik, termasuk pusat data, terus dinilai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved