johardy12/10/2026 - 18:57 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - MN Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM293.88 juta untuk membina dua kemudahan bekalan elektrik voltan tinggi bagi pembangunan pusat data di wilayah tengah Semenanjung Malaysia sekali gus memperluas penglibatannya dalam infrastruktur bekalan elektrik sektor itu.
Anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn Bhd menerima surat anugerah bagi pembinaan dua stesen pendaratan pengguna berkapasiti 275 kilovolt, menurut kumpulan itu dalam kenyataan pada Isnin.
Nilai kontrak tersebut termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Pelanggan yang tidak dinamakan itu menjalankan perniagaan perundingan komputer, penyediaan infrastruktur pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan.
Anak syarikat itu akan melaksanakan kerja pembinaan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kemudahan berkenaan termasuk bangunan utama serta kerja luaran berkaitan.
Kerja pembinaan bermula pada September 2026 dan dijangka siap pada Ogos 2027. Kedua-dua stesen tersebut akan membekalkan elektrik kepada pembangunan pusat data yang sama.
Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang berkata, penganugerahan kontrak itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap infrastruktur bekalan elektrik voltan tinggi bagi menyokong pembangunan pusat data berskala besar.
Perluas perniagaan infrastruktur pusat data
“Pengalaman kami dalam menyiapkan pencawang voltan tinggi dan infrastruktur bekalan elektrik meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam segmen yang berkembang ini,” katanya.
Dang berkata, kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek sambil meneroka peluang baharu dalam sektor infrastruktur bekalan elektrik, pusat data dan utiliti di seluruh Semenanjung Malaysia.
MN Holdings berkata, kontrak terbaharu itu memperluas penglibatannya dalam infrastruktur elektrik kritikal yang menyokong industri pusat data Malaysia.
Kumpulan itu menggunakan kepakaran kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang bagi memenuhi keperluan infrastruktur daripada pelaburan pusat data baharu serta pembangunan sistem bekalan elektrik yang lebih luas.
Ditubuhkan pada 2007, kumpulan itu mengkhusus dalam utiliti bawah tanah dan infrastruktur bekalan elektrik. Ia mengembangkan perniagaan kepada kejuruteraan pencawang pada 2012 serta menyediakan perkhidmatan pembinaan, integrasi dan penyelenggaraan sistem kuasa elektrik. - DagangNews.com





