Kerajaan Kaji Semula Gaji Permulaan Jurutera Di Malaysia

20 Dec 2022 • 5:12 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Berita baik untuk para jurutera di Malaysia apabila kerajaan ambil maklum berkenaan nisbah jurutera dan populasinya yang kurang di negara termasuklah isu yang hangat diperkatakan iaitu gaji permulaan yang rendah berbanding negara luar.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi beliau mengakui isu tersebut mungkin merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kurangnya minat golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) telah mewujudkan satu task force bagi mengkaji semula gaji permulaan buat jurutera di Malaysia.

Perkara tersebut diperkatakan oleh Menteri Kerja Raya berkenaan ketika menyampaikan ucapan perasmian secara maya di majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Nanta berkata penekanan akan diberikan bagi memastikan profesion teknikal dalam negara disambut baik oleh orang muda dan ianya cuba direalisasikan menerusi tema ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’.

Tambahnya lagi, penguasaan teknologi ini menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara dan mereka merupakan pewaris untuk menerajui negara di masa hadapan.

image is not available

Oleh itu, ianya amat penting untuk memberikan pendedahan berkaitan bidang teknikal kepada anak-anak muda demi meneruskan legasi dalam lanskap pembangunan negara.

Menurut Nanta lagi, pemerkasaan Latihan dan Pendidikan untuk bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuhkan bagi menyediakan ekosistem yang positif bagi melahirkan lebih ramai pakar yang berkemahiran tinggi.

Menteri berkenaan turut menyeru agar penggerak industri untuk bersama-sama dengan kementerian dalam usaha menggalakkan TVET kepada semua lapisan masyarakat selain melantik lebih ramai golongan profesion teknikal untuk mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.

Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan untuk melibatkan kalangan profesional teknikal di dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.