sarah11/11/2026 - 12:00 Gambar dari laman web SuRIA Home Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Kerajaan melanjutkan tempoh pemasangan sistem solar di bawah program SuRIA Home sehingga Mac 2027 bagi pemohon yang telah mendapat kelulusan, sekali gus membolehkan mereka terus menikmati rebat sehingga RM3,000 walaupun pemasangan belum disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lanjutan itu bertujuan memberi masa tambahan kepada pemohon yang telah mendapat kelulusan untuk menyelesaikan pemasangan sistem solar masing-masing.
“Pemohon yang telah membuat permohonan dan mendapat kelulusan boleh meneruskan pemasangan solar masing-masing dengan syarat pemasangan disiapkan selewat-lewatnya Mac tahun depan.
“Mereka masih akan menerima rebat yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) di Dewan Rakyat hari ini berhubung pengguna yang telah membayar deposit, menandatangani perjanjian dan menerima kelulusan tetapi masih menunggu pemasangan disiapkan.
Menurut Fadillah, program SuRIA Home yang diperkenalkan dengan peruntukan RM150 juta menawarkan rebat sekali bayar sebanyak RM600 bagi setiap kilowatt (kW) kapasiti solar yang dipasang, tertakluk kepada jumlah maksimum RM3,000 bagi sistem berkapasiti sekurang-kurangnya 5kW.
Program yang dilancarkan pada Mei lalu itu menyasarkan sehingga 50,000 kediaman dengan kuota keseluruhan 250 megawatt (MW), manakala tarikh tamat asal ditetapkan pada 31 Disember 2026 atau apabila kuota dipenuhi, mengikut mana-mana yang lebih awal.
Sehingga 15 September 2026, sebanyak 12,374 pengguna domestik telah menerima rebat berjumlah RM36.2 juta menerusi SuRIA Home, manakala kira-kira RM90 juta lagi peruntukan rebat masih tersedia di bawah program berkenaan.
Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP)
Sementara itu, sebanyak 24,291 permohonan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) dengan kapasiti keseluruhan 391.85MW telah diluluskan sehingga 15 September 2026, berbanding 135.92MW pada 30 April lalu, mencatatkan peningkatan kapasiti kelulusan hampir 190% dalam tempoh empat bulan setengah.
Program Solar ATAP yang bermula pada 1 Januari 2026 dilaksanakan tanpa kuota khusus bagi membolehkan pengguna domestik, komersial dan industri memasang sistem solar untuk kegunaan sendiri, selain memanfaatkan lebihan tenaga melalui mekanisme kredit bil elektrik yang berkaitan.
Bagi memperluas akses kepada golongan B40 dan M40, Fadillah berkata, pengguna boleh mempertimbangkan skim sewaan solar atau sewa untuk milik bagi mengurangkan kos permulaan, manakala kementerian akan terus menilai pilihan pembiayaan yang bersesuaian.
Beliau turut menasihatkan pengguna mendapatkan maklumat daripada kementerian, Tenaga Nasional Berhad atau Suruhanjaya Tenaga serta menggunakan penyedia perkhidmatan berdaftar bagi memastikan pemasangan selamat dan mematuhi piawaian teknikal.- DagangNews.com





