sarah16/10/2026 - 09:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - Defisit fiskal negara dijangka hanya berkurangan RM1 bilion kepada RM77.5 bilion pada 2027 berbanding RM78.5 bilion tahun ini, meskipun kerajaan menyasarkan pengecilan defisit kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mencerminkan cabaran berterusan dalam memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Pakar Ekonomi Kanan MARC Ratings Berhad (MARC Ratings), Kamal Zharif Jauhari berkata, hasil kerajaan yang dijangka menyederhana kepada 16.4% daripada KDNK, bersama komitmen perbelanjaan yang masih tinggi, terus mengehadkan fleksibiliti fiskal negara walaupun usaha konsolidasi fiskal sedang dilaksanakan.
“Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap konsolidasi fiskal sambil mengekalkan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar. Bagaimanapun, jumlah defisit sebenar dijangka hanya berkurangan sedikit daripada RM78.5 bilion kepada RM77.5 bilion,” katanya dalam webinar pasca-Belanjawan 2027, 'MARC360: Decoding Budget 2027 – The Economy and What Comes Next', anjuran Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) dengan kerjasama Moody's Ratings.
Menurut beliau, peruntukan pembangunan sebanyak RM83 bilion dalam Belanjawan 2027 dijangka terus merangsang aktiviti pelaburan dan ekonomi, manakala pertumbuhan negara kekal berdaya tahan selepas mencatat pengembangan 5.7% pada separuh pertama 2026, disokong permintaan domestik, pelaburan dan peningkatan kitaran teknologi global.
MARC Ratings mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.1% pada 2026 sebelum menyederhana sedikit kepada 5.0% pada 2027, dipacu momentum pelaburan dan permintaan domestik yang berterusan. Bagaimanapun, tekanan terhadap kewangan kerajaan masih memerlukan langkah pembaharuan struktur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Ketua Ekonomi MARC Ratings, Dr Ray Choy berkata, cabaran fiskal semakin ketara apabila perbelanjaan mengurus merangkumi 81.9% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan, manakala bayaran khidmat hutang menyerap kira-kira 16% daripada hasil kerajaan, sekali gus mengehadkan ruang untuk membiayai keperluan pembangunan dan menghadapi kejutan ekonomi.
“Pembaharuan struktur hasil kerajaan, peningkatan kecekapan perbelanjaan dan peluasan asas percukaian amat penting. Pengukuhan penampan fiskal juga akan membantu mengekalkan ruang kewangan bagi pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur, selain melindungi ekonomi daripada kejutan luaran pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kanan Dasar Percukaian KPMG Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh berkata, gaji pekerja yang rendah dan insentif cukai korporat mengecilkan asas percukaian negara, sekali gus menuntut peningkatan produktiviti, semakan insentif serta usaha mengurangkan ketirisan hasil cukai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Arshad Mohamed Ismail pula menegaskan kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan keberkesanan perbelanjaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sekadar jumlah peruntukan, sambil memaklumkan penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal pada AAA dengan prospek stabil mengikut skala nasional.
Dalam pada itu, wakil Kementerian Kewangan, Rozita Abd Matalib berkata, pelaburan dalam sektor semikonduktor, pusat data dan infrastruktur digital perlu memberi manfaat lebih besar kepada syarikat tempatan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat. - DagangNews.com





