Akta antiuntung atas angin, amalan Ali Baba dijangka dibentang di Parlimen pada 2027 – Akmal Nasrullah

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 10:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Akta antiuntung atas angin, amalan Ali Baba dijangka dibentang di Parlimen pada 2027 – Akmal Nasrullah Image from: Akta antiuntung atas angin, amalan Ali Baba dijangka dibentang di Parlimen pada 2027 – Akmal Nasrullah sarah14/10/2026 - 10:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Kerajaan bercadang membentangkan undang-undang baharu atau pindaan kepada perundangan berkaitan bagi membanteras amalan untung atas angis atau 'rent-seeking' dan amalan Ali Baba di Parlimen pada 2027.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kementerian Ekonomi sedang menjalankan kajian untuk membangunkan kerangka kawal selia serta cadangan perundangan bagi menangani amalan berkenaan.

 

Menjawab soalan Syahredzan Johan (Bangi) di Dewan Rakyat, beliau berkata kerajaan komited membanteras amalan itu kerana boleh menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan tidak adil dan menghalang pertumbuhan produktiviti negara.

 

“Cabaran ketika ini ialah amalan menjual lesen atau secara Ali Baba, iaitu aktiviti 'rent-seeking', tidak dianggap sebagai jenayah. Sebab itu, kita perlu menilai keperluan akta anti rent-seeking yang membolehkan perkara itu ditakrifkan sebagai satu kesalahan.

 

“Ini kerana amalan tersebut akan melemahkan keupayaan dan persaingan perniagaan dalam kalangan peniaga tempatan,” katanya.

 

Menurut Akmal Nasrullah, kajian itu turut mengambil kira pandangan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pendekatan yang dirangka menyeluruh serta sesuai dengan keperluan semasa.

 

Beliau berkata, penggubalan undang-undang memerlukan penelitian mendalam kerana isu 'rent-seeking' merentasi bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, sekali gus memerlukan penyelarasan serta persetujuan bersama sebelum cadangan dimuktamadkan.

 

Cadangan berkenaan perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) serta Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen.

 

Dari segi skop, kerajaan sedang meneliti sama ada undang-undang baharu khusus berkaitan anti rent-seeking perlu digubal atau peruntukan undang-undang sedia ada dipinda, bergantung pada hasil kajian dan penyelarasan dengan pihak berkepentingan.

 

Kajian Kementerian Ekonomi mendapati terdapat undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang pemindahan lesen, khususnya berkaitan aktiviti Ali Baba. Bagaimanapun, peruntukan sedia ada dilihat mempunyai kekangan dan belum mampu membendung amalan 'rent-seeking' secara berkesan.

 

Menurut kajian itu, amalan berkenaan juga berupaya menjejaskan kecekapan sosioekonomi negara berikutan ketirisan dalam pemberian lesen, kontrak dan kemudahan lain. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved