amree21/10/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), ketika kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna menjadi perhatian kerajaan.
Arahan tegas tersebut dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi surat yang bertarikh 20 Oktober 2026 selepas Mesyuarat JKSN Bilangan 3 Tahun 2026 di Putrajaya dengan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan, menerusi hebahan surat berkenaan, semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan untuk memastikan keputusan tersebut dapat disampaikan terus kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing untuk pelaksanaan secara segera.
Arahan tersebut turut ditujukan kepada ketua pengurusan badan berkanun Persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha pematuhan yang menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi.
Sehubungan itu, Shamsul Azri berkata sebarang pertanyaan atau permohonan penjelasan lanjut mengenai arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keputusan berkenaan dilihat susulan saranan Anwar pada 20 Oktober 3036 supaya rakyat negara ini mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan dikenali TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif kepada Waze.

Menurut kebimbangan yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, penggunaan Waze menimbulkan persoalan berkaitan keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna tempatan, termasuk kaitannya secara jelas dengan kepentingan kerajaan Israel.
Waze sendiri ditubuhkan Waze Mobile Ltd di Tel Aviv, Israel pada 2006 bermula sebagai projek pemetaan digital komuniti iaitu FreeMap Israel, namun kini merupakan aplikasi navigasi milik firma antarabangsa Google dengan lebih 200 juta di seluruh dunia.
Sementara itu, aplikasi TuJu dibangunkan oleh LLM dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd dan dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada 26 November 2025. Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.
TuJu menawarkan maklumat laluan, jarak perjalanan, anggaran masa ketibaan, kadar tol dan keadaan trafik masa nyata. Aplikasi itu turut menyediakan maklumat kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R), akses kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung serta bantuan kecemasan.
Dalam pada itu, arahan larangan penggunaan Waze yang diumumkan itu secara khusus melibatkan penjawat awam, manakala saranan menggunakan TuJu dikemukakan kepada orang ramai sebagai alternatif navigasi tempatan. - DagangNews.com





