liza20/08/2026 - 12:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – NexG Berhad menilai anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) pada kira-kira RM7.5 bilion selepas menerima permintaan Kerajaan Malaysia untuk mengemukakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat itu.
NexG berkata, penilaian awal secara dalaman itu dibuat berdasarkan kaedah jumlah bahagian (sum-of-parts) dengan DTSB merupakan perniagaan operasi teras serta penyumbang utama hasil dan keuntungan kumpulan.
Menurutnya, pelupusan DTSB bermakna NexG akan kehilangan perniagaan terasnya yang menjadi asas kepada rancangan pengembangan kumpulan di peringkat serantau dan antarabangsa.
“DTSB ialah perniagaan teras yang berkembang dan telah dibangunkan NexG selama bertahun-tahun dan dalam keadaan biasa akan dikekalkan serta terus dikembangkan untuk pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.
Lembaga Pengarah NexG berkata, permintaan kerajaan itu akan dipertimbangkan dengan sewajarnya, namun tiada keputusan dibuat untuk meneruskan transaksi dan tiada perjanjian dicapai dengan kerajaan setakat ini.
Sekiranya cadangan itu bergerak ke peringkat seterusnya, NexG menetapkan tiga prinsip utama iaitu sebarang transaksi perlu dibuat pada nilai wajar yang mencerminkan nilai DTSB, semua pemegang saham dilayan secara sama rata serta keselamatan dan kesinambungan keupayaan identiti nasional DTSB dipelihara.
Lembaga Pengarah juga tidak akan menyokong transaksi yang tidak memenuhi syarat tersebut.
NexG menegaskan penilaian RM7.5 bilion itu hanyalah penilaian dalaman awal, bukannya penilaian bebas, harga dipersetujui atau tawaran muktamad.
Nilai tersebut juga jauh lebih tinggi berbanding permodalan pasaran NexG sebagai syarikat pegangan tersenarai, yang kini berada sekitar RM1.04 bilion.
Lebih daripada sebuah syarikat: Keupayaan nasional berdaulat
NexG berkata kepentingan DTSB turut berkait dengan usaha Malaysia memodenkan sistem pengundian, termasuk pengesahan pengundi secara biometrik dan pengundian elektronik, yang memerlukan asas identiti nasional yang dipercayai serta boleh disahkan secara biometrik.
Justeru, sebarang perubahan pemilikan DTSB mempunyai implikasi besar tanpa mengira pihak yang bakal menjadi pemilik baharu.
DTSB bukan sekadar bergantung kepada satu produk atau kontrak, sebaliknya mempunyai keupayaan menyeluruh dalam sistem identiti nasional dan telah berkhidmat kepada negara sejak 1999 sebagai pembekal dokumen identiti serta dokumen keselamatan.
Syarikat itu merupakan penyedia MyKad dan sejak 2012 menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
DTSB kini turut memegang mandat bagi MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA dengan komitmen bekalan untuk beberapa tahun.
NexG berkata keupayaan DTSB merangkumi reka bentuk dan pengeluaran dokumen keselamatan sehingga pengesahan biometrik pemegang dengan keseluruhan rantaian itu dikekalkan dalam negara dan mengikut piawaian nasional.
Keupayaan menyeluruh berkenaan menjadikan DTSB penting dari sudut strategik dan sukar ditiru, menurut kumpulan itu.
Mengapa DTSB bernilai RM7.5 bilion
NexG berkata DTSB memiliki harta intelek termasuk teknologi pengesahan identiti rakyat melalui kod QR biometrik yang sedang dalam proses mendapatkan paten, bersama ciri pengesanan “liveness” untuk melindungi daripada penyamaran identiti, dokumen palsu dan pemalsuan sistem.
Ia turut mempunyai permohonan hak cipta bagi reka bentuk MyKad dan pasport, selain teknologi e-pasport mematuhi ICAO serta sistem biometrik yang menggunakan pelbagai kaedah biometrik dan pengecaman wajah.
“Teknologi proprietari itu menjadi pemacu nilai DTSB serta mewujudkan halangan kepada sebarang usaha untuk menirunya.
“Penyelesaian DTSB juga diaudit dan diperakui secara bebas dari segi keselamatan serta dibangunkan mengikut piawaian keselamatan nasional dan kriptografi.
“Kelulusan keselamatan, rekod prestasi dan tahap kepercayaan yang dibina DTSB tidak boleh diperoleh dalam tempoh singkat, sekali gus menjadi sebahagian daripada nilai perniagaan itu,” katanya.
Bagi program identiti nasional semasa, DTSB telah membuat komitmen pelaburan kira-kira RM1.9 bilion merangkumi tenaga kerja, peralatan, naik taraf sistem serta dua kilang pembuatan di Petaling Jaya dan Meru.
Jutaan kad generasi baharu telah dihasilkan dan disimpan dengan selamat, manakala infrastruktur percetakan dan sokongan telah dipasang serta diuji di pejabat pendaftaran negara di seluruh Malaysia. Ujian penerimaan pengguna juga telah selesai.
Daripada MyKad kepada ekosistem identiti digital dan pembayaran dikawal Kerajaan
DTSB turut membangunkan ekosistem digital modular atau “SuperApp” yang menggabungkan platform pengesahan identiti melalui kod QR biometrik untuk bank, peniaga dan institusi lain, bersama dompet digital kerajaan bagi program subsidi dan bantuan bersasar.
MyKad generasi baharu itu mempunyai fungsi identiti kod QR yang disulitkan dan membolehkan identiti pemegang disahkan menggunakan pengesahan wajah biometrik serta pengesanan “liveness”.
Menurut NexG, teknologi itu menghubungkan MyKad fizikal dengan identiti sebenar rakyat dan menyediakan lapisan keselamatan untuk transaksi digital.
Di atas lapisan identiti itu, DTSB membangunkan ‘SALUR’ iaitu dompet digital dan ekosistem pembayaran kerajaan yang membolehkan subsidi, bantuan dan manfaat lain disalurkan secara digital.
SALUR membolehkan kerajaan menentukan penerima yang layak, tujuan penggunaan dana, lokasi perbelanjaan serta menjejaki dan menyelaraskan penggunaan dana kerajaan.
NexG berkata sistem itu menyediakan infrastruktur berdaulat yang dikawal kerajaan sendiri tanpa bergantung kepada platform pihak ketiga.
Malah, SALUR boleh disediakan kepada kerajaan sebagai infrastruktur dompet digital khusus tanpa kos pemerolehan platform.
Kesemua keupayaan tersebut menjadi asas kepada penilaian DTSB pada kira-kira RM7.5 bilion, menurut NexG.
Kesan pelupusan DTSB
Sekiranya DTSB dilupuskan, NexG berkata transaksi itu tertakluk kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Antara lain, pelupusan perniagaan teras memerlukan kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa serta pelantikan penasihat bebas untuk menasihati pemegang saham.
Lembaga Pengarah berkata ia akan mematuhi semua keperluan yang ditetapkan.
Pemegang saham nikmati manfaat
Selain mendapatkan nilai wajar bagi DTSB, NexG mahu pemegang saham turut menikmati manfaat daripada nilai yang terhasil sekiranya transaksi berlaku.
Lembaga Pengarah bercadang memperuntukkan sebahagian daripada hasil transaksi untuk pengisytiharan dividen kepada pemegang saham.
Bagaimanapun, jumlah yang akan diagihkan hanya akan ditentukan kemudian berdasarkan nilai akhir transaksi sekiranya pengambilalihan oleh kerajaan benar-benar berlaku.
Langkah seterusnya
NexG akan mengemukakan penilaian indikatif seperti yang diminta kerajaan dan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat perkembangan material.
Namun, kumpulan itu menegaskan tiada kepastian bahawa transaksi akan berlaku termasuk dari segi struktur, masa, terma atau nilai.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan NexG Berhad, Datuk Ishak Ismail berkata tanggungjawab kumpulan kekal kepada pemegang saham dan negara.
“Sebarang transaksi mesti mencerminkan nilai wajar perniagaan, mengekalkan keupayaan tersebut secara menyeluruh, melayan setiap pemegang saham secara sama rata serta melindungi keselamatan negara.
“NexG akan berunding secara konstruktif dan bertanggungjawab bagi mencapai hasil yang baik untuk negara serta adil kepada semua pihak yang telah membantu membangunkan syarikat,” katanya. - DagangNews.com





