NexG mulakan kerjasama teroka peluang perniagaan di Bangladesh, Mauritius, Pakistan

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NexG mulakan kerjasama teroka peluang perniagaan di Bangladesh, Mauritius, Pakistan Image from: NexG mulakan kerjasama teroka peluang perniagaan di Bangladesh, Mauritius, Pakistan hamden11/08/2026 - 17:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - NexG Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Global Technologies Sdn Bhd (DGTSB), memeterai tiga Memorandum Kerjasama (MOC) berasingan bagi meneroka dan mendapatkan peluang perniagaan rumusan pengenalan diri (ID) selamat di Bangladesh, Mauritius dan Pakistan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, MOC tersebut dimeterai pada 11 Ogos 2026 dengan Galaxy Technology (Bangladesh) Limited (GTBL), D3N Ltd (D3N) dan Ultra Electronics Pakistan (Private) Limited (UEP) masing-masing bagi pasaran Bangladesh, Mauritius dan Pakistan.

 

Menurut NexG, kerjasama berkenaan akan memperkukuh usaha kumpulan dalam mempromosikan serta mendapatkan peluang perniagaan bagi rumusan ID selamat DGTSB daripada bakal pelanggan di ketiga-tiga pasaran tersebut.

 

Di bawah MOC itu, ketiga-tiga rakan kerjasama akan bertindak sebagai bahagian pemasaran DGTSB di wilayah masing-masing, dengan tanggungjawab utama mempromosikan penyelesaian ID keselamatan serta mewujudkan peluang perniagaan baharu.

 

Skop kerjasama berkenaan turut boleh diperluaskan ke negara lain di luar wilayah ditetapkan sekiranya dipersetujui secara bertulis oleh pihak-pihak terlibat.

 

NexG berkata rakan kongsi berkenaan juga akan memanfaatkan pengetahuan tempatan, rangkaian dan akses masing-masing bagi membantu DGTSB mendekati kementerian kerajaan, agensi serta entiti milik kerajaan di pasaran berkenaan.

 

Dari segi kepakaran, NexG berkata pihak-pihak berkenaan akan menggabungkan sumber, pengetahuan dan kepakaran masing-masing bagi memaksimumkan peluang perniagaan, dengan rakan tempatan mengetuai usaha pemasaran serta pembinaan hubungan di wilayah masing-masing.

 

Latar Belakang Rakan Kerjasama

GTBL merupakan syarikat usaha sama berteknologi tinggi dari Bangladesh yang mengkhusus dalam pembangunan, pembuatan dan pemasaran kad SIM, kad pintar serta kad gores untuk sektor telekomunikasi, perbankan, ID kerajaan dan pengangkutan.

 

Sementara itu, D3N yang berpangkalan di Mauritius merupakan kumpulan penyelesaian teknologi digital selamat yang menyokong transformasi digital sektor perbankan dan telekomunikasi, dengan pelanggan termasuk institusi kewangan serantau.

 

UEP pula merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan kad pintar, penyelesaian percetakan keselamatan, ukiran laser serta pengubahsuaian kad khusus di Pakistan.

 

NexG berkata MOC berkenaan akan berkuat kuasa sehingga pihak-pihak memeterai perjanjian muktamad yang menggantikannya atau bersetuju untuk menamatkannya.

 

MOC tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham diterbitkan dan pegangan pemegang saham utama, selain aset bersih, gearan, pendapatan serta pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 dan tahun kewangan berikutnya sepanjang tempoh MOC.

 

“Kesan kewangan MOC hanya boleh ditentukan selepas perjanjian rasmi antara pihak-pihak dimuktamadkan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved