sarah12/11/2026 - 15:58 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Kerajaan bercadang mewajibkan pengendali pusat data mendedahkan maklumat operasi termasuk penggunaan elektrik dan jumlah cip unit pemprosesan grafik (GPU) yang diimport menerusi peruntukan undang-undang bagi memperkukuh pemantauan industri berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti pengendali dan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar (hyperscaler) yang terlibat, selain lokasi setiap pusat data.
Menurut beliau, daripada 117 projek pusat data yang diluluskan, sebanyak 55 projek sudah memulakan operasi, sekali gus menunjukkan keperluan pemantauan berterusan walaupun kelulusan pelaburan telah diberikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih MySaham MITI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sempena Deepavali 2026, hari ini.
Penggunaan elektrik pusat data perlu dipantau
Johari turut menegaskan bahawa pengendali pusat data perlu menentukan keperluan kapasiti elektrik sebenar sebelum membuat komitmen bekalan dengan penyedia tenaga kerana kapasiti yang ditempah perlu diperuntukkan mengikut perjanjian bekalan.
“Sebagai contoh, jika sesebuah pusat data menempah kapasiti sebanyak 100 megawatt (MW) tetapi hanya menggunakan 50MW, baki 50MW yang tidak digunakan itu tetap akan dikenakan bayaran,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pembekal elektrik perlu menyediakan kapasiti berdasarkan jumlah yang dipersetujui dalam perjanjian, sekali gus menjadikan perancangan penggunaan tenaga yang tepat penting kepada pengendali pusat data.
MITI lancar MySaham untuk pelabur Bumiputera
Pada majlis sama, Johari melancarkan aplikasi MySaham MITI bagi memudahkan pelabur Bumiputera mendapatkan maklumat dan menguruskan permohonan Saham Khas Bumiputera (SKB) yang ditawarkan oleh syarikat bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.
Melalui aplikasi tersebut, pelabur boleh mendaftar, mengemukakan permohonan saham, menyemak status serta keputusan permohonan, selain menerima pemberitahuan mengenai penawaran saham dan tarikh penting.
Johari berkata, pelaksanaan MySaham MITI perlu disokong pengurusan maklumat yang cekap, keselamatan sistem dan penambahbaikan berterusan supaya lebih ramai pelabur Bumiputera dapat menyertai pasaran modal secara mudah, telus dan bertanggungjawab.- DagangNews.com






