Kerajaan Melaka tidak jamin tiada catuan air

LocalEnvironment
8 Apr 2026 • 11:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ab Rauf meninjau Empangan Jus pada Rabu.

MELAKA - Kerajaan Melaka tidak memberi jaminan bahawa catuan air tidak akan berlaku di negeri ini kerana keputusan tersebut bergantung kepada tahap penggunaan air semasa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, catuan air tidak dapat dielakkan susulan penurunan paras empangan serta situasi cuaca panas berpanjangan yang dijangka berterusan sehingga September.

“Kita tidak memberi jaminan tiada catuan air kerana ia bergantung kepada sikap rakyat, jadi dinasihatkan supaya rakyat tidak membazirkan air.

“Jika paras air memerlukan kita melaksanakan catuan, maka kita akan berbuat demikian bagi memastikan bekalan air dapat dikawal dan digunakan untuk tempoh lebih panjang sebelum mencapai paras kritikal.

“Kita tidak boleh mengatakan tiada catuan air kerana sekiranya hujan tidak turun dan sumber air berkurangan, catuan pasti akan berlaku. Oleh itu, semua pihak perlu bersama kerajaan dalam usaha penjimatan air,” katanya selepas meninjau Empangan Jus pada Rabu.

Lawatan itu bagi meninjau perkembangan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Jus Fasa 2 yang dimulakan sejak 8 Mei tahun lalu dengan kos RM11.6 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 7 Julai 2026.

Loji Rawatan Air Jus sedia ada yang dibina pada tahun 2010 mempunyai kapasiti 4.5 juta liter sehari dan menggunakan sistem Dynasand dengan sumber air mentah dari Empangan Jus.

Bagaimanapun, pertambahan penduduk, perkembangan industri serta faktor geografi khususnya di kawasan seperti Selandar, Kampung Jus dan Kemendor yang terletak di kawasan tinggi serta jauh dari sumber utama telah memberi tekanan kepada sistem bekalan sedia ada.

Pelaksanaan LRA Jus Fasa 2 dengan kapasiti tambahan lima juta liter sehari dilihat sebagai langkah strategik bagi penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu gangguan bekalan air berulang, khususnya di kawasan sekitar Jus seperti Kampung Bukit Senggeh dan Kampung Orang Asli Jus.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Melaka kini mengalami musim panas berpanjangan berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjangkakan cuaca panas dan taburan hujan rendah sehingga September.

“Bagaimanapun, dalam beberapa hari kebelakangan ini, Melaka menerima taburan hujan yang baik, sekali gus membantu menstabilkan paras air di empangan utama.

“Walaupun keadaan ini memberi sedikit kelegaan, kerajaan negeri tidak mengambil mudah kerana risiko penurunan paras air masih boleh berlaku sekiranya cuaca kering berterusan,” katanya.

Katanya, paras air di Empangan Jus kini menurun 0.3 peratus sehari, manakala Empangan Durian Tunggal mencatatkan penurunan sekitar 0.5 peratus sehari.

Ujar beliau, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif termasuk memohon pelaksanaan pembenihan awan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi meningkatkan taburan hujan ketika paras empangan menunjukkan penurunan.

“Permohonan ini telah diluluskan dan kini proses penilaian kesesuaian awan serta penerbangan sedang diteliti oleh MetMalaysia.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mengaktifkan semula kolam alternatif serta sumber simpanan air tambahan di seluruh negeri bagi memperkukuh kapasiti bekalan sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kempen kesedaran dan penjimatan air turut dipertingkatkan bagi memastikan penggunaan air lebih terkawal.

“Kerajaan negeri komited memastikan sumber air sedia ada kekal mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

“Sekiranya penggunaan dapat dikawal, bekalan air dijangka mampu bertahan sehingga November, namun cuaca panas berpanjangan dijangka berakhir sekitar September,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat Melaka mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran ketika keadaan cuaca tidak menentu.