
Permintaan terhadap tenaga lestari semakin tinggi dan pentingnya semua pihak memainkan peranan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga bahan yang akan berkurang. Kerajaan pada hari ini telah memperkenalkan program SuRIA Home bermula 1 Jun 2026 bagi menggalakkan pemasangan solar dikalangan rakyat.

Program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) ini merupakan lanjutan kepada Program Solar ATAP yang bermula Januari tahun ini. Untuk program SuRIA, sebanyak RM 120 juta insentif disediakan bermula 1 Jun hingga Disember tahun ini. Rebat sebanyak RM 600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar, dengan jumlah maksimum RM3,000 bersamaan 5kWac.
Program SuRIA Home ini akan dibuka kepada pepasangan solar dibawah program Solar ATAP bagi tempoh sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi.
Tahun ini sahaja pelbagai inisiatif dan program melibatkan tenaga lestari semakin bertambah. Malah penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis dan TIME turut meneroka dalam menyediakan perkhidmatan solar, dan HUAWEI juga telah mula menyediakan sistem bateri bagi menyimpan tenaga solar. Dengan pelancaran SuRIA Home ini, pasti semakin ramai penduduk akan memanfaatkan tenaga lestari dalam urusan seharian.





