
SEPANG: Kerajaan memulakan pengeluaran jagung bijian secara berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan 100 peratus terhadap import komoditi itu yang kini mencecah 2.5 juta tan metrik bernilai kira-kira RM3 bilion setahun.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh sekuriti makanan negara, terutama dalam menghadapi risiko perubahan cuaca serta ketidaktentuan geopolitik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan.
Beliau berkata, projek berskala besar tanaman itu turut dirancang di Perlis membabitkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak kira-kira 5,500 hektar.
“Kawasan itu akan menjadi antara pusat utama penanaman jagung, selain beberapa kawasan di Perak, Johor dan Pahang yang sudah mula melaksanakan penanaman.
“Kita akan menggunakan varieti jagung bijian MZ1 dan MZ2 dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berdasarkan ketahanannya selain berpotensi dikembangkan untuk penanaman secara berskala besar,” katanya selepas melancarkan varieti jagung bijian tempatan dan meninjau projek pengeluaran jagung bijian berskala besar di Genting Tanah Merah Estate, Sepang, di sini hari ini.
Katanya, MARDI bukan sahaja memainkan peranan dalam pembangunan jagung, malah turut memberi tumpuan kepada sektor padi dan tanaman lain menerusi penggunaan benih serta teknologi baharu.
Mengulas sasaran kerajaan untuk mencapai 30 peratus pengeluaran jagung bijian tempatan, Mohamad berkata, usaha itu masih di peringkat awal dan memerlukan peluasan kawasan tanaman secara besar-besaran.
“Jauh lagi. Di sini baru 400 hektar (Genting Tanah Merah Estate) Mungkin tiga hingga empat peratus baru (boleh dicapai), nak capai 30 peratus itu.
“Belum ada anggaran rasmi, tetapi tidak banyak lagi kerana keperluan kita sampai kepada RM3 bilion untuk import jagung ini. Bukan benda yang senang,” katanya.
Katanya, pengeluaran pertama daripada projek berkenaan dijangka boleh diperoleh hujung tahun ini, selepas penanaman yang dimulakan pada Ogos mengambil tempoh kira-kira tiga bulan untuk menghasilkan tuaian.
Jelasnya lagi, sasaran pengeluaran domestik itu akan dipertingkatkan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran jangka panjang kerajaan. – UTUSAN
The post Kerajaan mulakan pengeluaran jagung bijian skala besar, kurang bergantung import RM3b setahun appeared first on Utusan Malaysia.





