Kedah sedia bina rumah terancang buat penduduk Bukit Malut

10 Aug 2026 • 5:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kedah sedia bina rumah terancang buat penduduk Bukit Malut

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengulangi kesediaan kerajaan negeri untuk membina kira-kira 1,400 buah rumah yang lebih terancang buat penduduk Bukit Malut, Langkawi dekat sini.

Namun, kata beliau, perkara itu akan dilaksanakan dengan syarat Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelesaikan isu pengambilan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, penduduk Bukit Malut juga menyatakan kesediaan untuk membeli rumah yang dibangunkan, namun harga perlu berada pada tahap mampu milik iaitu dalam lingkungan RM200,000 dan ke bawah.

“Depa sedia untuk beli, depa ada duit, depa kata kami sedia beli kalau ada rumah yang sesuai. Kalau harga RM1 juta memang tak mampu. Jadi, MKN boleh buat pengambilan dan anak syarikat kerajaan negeri boleh bangunkan rumah untuk dijual, maka boleh selesailah masalah penempatan Bukit Malut,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata, kawasan penempatan sedia ada semakin padat sehingga menyebabkan pelbagai isu termasuk kebersihan, bekalan air dan elektrik sukar diselesaikan kerana status tanah yang tidak mempunyai geran.

Katanya, penyelesaian isu tersebut juga penting bagi mengelakkan pelbagai spekulasi terhadap komuniti Bukit Malut, termasuk dakwaan bahawa kawasan itu merupakan penempatan pendatang asing.

Berhubung status pembangunan semula tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) di Bukit Malut, Muhammad Sanusi berkata, ia masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan hanya sebahagian kecil kawasan berjaya dikosongkan.

“Tidak semua keseluruhan tanah itu dapat dikosongkan. Jadi tak boleh buat apa jugalah kerana tahap kemanusiaan kita tinggi. Kalau kita pergi punggah orang yang duduk situ, dia nak pergi mana. Jadi kemanusiaan itulah yang masih menahan kita untuk tidak hilang perikemanusiaan walaupun kita ada perintah mahkamah, kita tak mahulah ambil tindakan yang mendatangkan isu lain pula,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, penduduk Bukit Malut yang mempunyai MyKad mempunyai hak untuk menentukan pilihan politik mereka tanpa perlu dikaitkan dengan soal pemberian geran atau penyelesaian isu penempatan.

Beliau berkata, pendekatan menjadikan isu berkenaan sebagai pertukaran sokongan politik hanya menyebabkan masalah penduduk berlarutan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

“Masalah orang Bukit Malut adalah orang politik tak mahu selesai kecuali dapat undi mereka, tak betul cara itu. Kita kena selesaikan sekali gus, bina rumah, mereka bebas. Mereka boleh buat kerja, hidup di sana. Siapa mereka nak undi, itu urusan mereka.

“Begitu cara selesai masalah, ini tangguh geran tak mahu bagi, rumah tak mahu bagi kena pangkah dulu. Sudah berapa generasi isu itu tak selesai pasal orang pentingkan politik,” tambahnya.

Kosmo! pada 6 Ogos lalu melaporkan persepsi buruk terhadap Bukit Malut termasuk dakwaan 15,000 etnik Rohingya menetap di perkampungan itu adalah tidak benar apabila jumlah sebenar penduduk di kawasan tersebut sehingga Mei lalu hanya kira-kira 5,500 orang.

Data bancian pihak berkuasa turut menunjukkan 92.2 peratus daripada penduduk di kawasan penempatan itu merupakan warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan, manakala selebihnya ialah warga asing yang menyewa di situ. – KOSMO! ONLINE

The post Kedah sedia bina rumah terancang buat penduduk Bukit Malut appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved