
KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Bloomberg berkaitan tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Berikutan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan yang berkenaan.
“Selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Bloomberg menyiarkan laporan mendakwa terdapat campur tangan dalam garis masa pendedahan siasatan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Pada 13 Februari lalu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas menyiasat dakwaan Azam memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Azam sebelum ini menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 dibuat secara telus dan mengikut prosedur. Beliau turut dipanggil memberi keterangan pada 19 Februari.
Jawatankuasa khas itu dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican. - 31 Mac, 2026
The post Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg berhubung siasatan pemilikan saham Azam Baki appeared first on Scoop.
