Kerajaan Negeri terus sokong industri media: Ketua Menteri

15 Jun 2026 • 5:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kerajaan Negeri terus sokong industri media: Ketua Menteri

KERAJAAN Negeri terus menyokong industri media menerusi tajaan kewangan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata tajaan untuk KPA ditingkatkan kepada RM110,000 sejak 2025 berbanding RM100,000 pada 2024.

“Peningkatan tajaan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan, selain menyokong usaha memperkasakan kecemerlangan dalam kalangan pengamal media di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus menyokong penganjuran anugerah ini sebagai penaja utama.

“Kerajaan Negeri kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Anugerah Kewartawanan Kinabalu pada tahun ini,” katanya sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2026 di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri amat menghargai peranan wartawan sebagai rakan strategik dalam menyampaikan dasar kerajaan serta pencapaian pembangunan kepada rakyat.

“Laporan berita khususnya berkaitan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya telah dilaksanakan dengan cemerlang. Malah, sepanjang tempoh menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah sehingga berakhirnya Pilihan Raya Negeri Ke-17 tahun lalu, pengamal media terlibat secara langsung terutama dalam pelaporan perkembangan semasa.

“Saya sendiri menyaksikan bagaimana pengamal media bekerja tanpa mengenal penat lelah, meluangkan masa tambahan, mendapatkan berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat serta mematuhi standard integriti tertinggi demi kepentingan rakyat.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya melihat pengamal media bertugas siang dan malam, meredah hujan dan panas untuk melaporkan setiap perkembangan. Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada semua pengamal media atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Walaupun kepantasan penyampaian berita kekal penting, beliau menegaskan bahawa ketepatan dan integriti fakta tidak boleh sesekali dikompromi.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berpandukan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

“Pengamal media juga perlu terus melaporkan berita secara tepat, telus dan beretika serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya.