Kerajaan perhalusi skim BUDI95 e-hailing berdasarkan data perjalanan sebenar mulai November 2025

LocalPolitics
18 Dec 2025 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan perhalusi skim BUDI95 e-hailing berdasarkan data perjalanan sebenar mulai November 2025
image is not available
haziq18/12/2025 - 11:55 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Dis – Kerajaan terus memperhalusi pelaksanaan skim BUDI95 bagi sektor e-hailing dengan menggunakan pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar bagi memastikan subsidi RON95 disalurkan secara bersasar, berkesan dan mampan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Menurut Amir Hamzah, berkuat kuasa November 2025, kerajaan telah melaksanakan penambahbaikan melalui skim kelayakan berperingkat BUDI95 yang diaktifkan pada pertengahan setiap bulan, dengan jarak perjalanan perkhidmatan e-hailing pada bulan terdahulu dijadikan penentu utama siling kelayakan subsidi.

 

Katanya, pemandu e-hailing yang mencatat jarak perjalanan tidak melebihi 2,000 kilometer pada bulan sebelumnya akan menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter, manakala pemandu dengan jarak perjalanan antara 2,000 kilometer hingga 5,000 kilometer layak menerima tambahan BUDI95 sebanyak 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.

 

“Bagi pemandu yang mencatat jarak perjalanan 5,000 kilometer dan ke atas pada bulan sebelumnya, mereka layak menerima tambahan BUDI95 sebanyak 500 liter, menjadikan kelayakan keseluruhan 800 liter termasuk kelayakan asas,” katanya.

 

Amir Hamzah menjelaskan, penentuan kelayakan tidak lagi dibuat berdasarkan status separuh masa atau sepenuh masa, sebaliknya berdasarkan corak penggunaan sebenar perkhidmatan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO).

 

Menurutnya, berdasarkan data Disember 2025, daripada kira-kira 164,000 pemandu e-hailing yang diterima daripada EHO, lebih 106,000 atau 65 peratus pemandu layak menikmati siling BUDI95 sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.

 

Beliau berkata, jarak perjalanan bulanan setiap pemandu akan ditentukan melalui penggabungan data perjalanan daripada semua EHO, dengan pengesahan data dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

 

“Hanya pemandu warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu, lesen Passenger Service Vehicle (PSV) dengan izin serta permit kenderaan e-hailing (EVP) yang sah akan dipertimbangkan,” katanya.

 

Bagi menutup ruang ketirisan subsidi, Amir Hamzah berkata EHO diwajibkan mengemukakan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih kepada APAD dan LPKP pada awal setiap bulan.

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Dr Lingeshwaran A/L Datuk Seri R. Arunasalam mengenai kriteria pengesahan status pemandu sepenuh masa dan langkah mengelakkan ketirisan subsidi.

 

Katanya, pemandu yang tidak mencatatkan aktiviti perjalanan minimum berdasarkan jarak yang ditetapkan pada bulan terdahulu secara automatik tidak akan menerima kelayakan tambahan, selain tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemandu atau EHO yang mengemukakan maklumat palsu atau bercanggah dengan rekod sistem.

 

“Pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar ini secara langsung menutup ruang ketirisan kepada pemandu tidak aktif, pemandu sambilan minimum atau akaun yang disalahgunakan, di samping memastikan subsidi hanya disalurkan kepada pemandu yang benar-benar bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.

 

Menurut Amir Hamzah, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan skim BUDI95 dan corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dari semasa ke semasa serta menambah baik parameter kelayakan sekiranya perlu bagi memastikan mekanisme subsidi kekal berkesan dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard