Kerajaan perkukuh bantuan pekebun kecil tangani isu pokok sawit tua – Noraini

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 2:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan perkukuh bantuan pekebun kecil tangani isu pokok sawit tua – Noraini Image from: Kerajaan perkukuh bantuan pekebun kecil tangani isu pokok sawit tua – Noraini hamden24/09/2026 - 14:38 Datuk Noraini Ahmad merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di Kota Kinabalu hari ini. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Isu pokok sawit tua perlu ditangani dengan lebih serius kerana usia tanaman mempunyai kaitan langsung dengan hasil kebun dan pendapatan pekebun kecil.

 

Menteri Perladangan dan Komuniti Datuk Noraini Ahmad berkata, kerajaan memahami kehidupan pekebun kecil tidak sentiasa mudah kerana mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk pokok tua, kos operasi, kekurangan tenaga kerja, perubahan iklim serta tuntutan pasaran yang semakin kompleks.

 

"Atas sebab itu, bantuan penanaman semula, latihan, teknologi, pendigitalan dan akses pasaran terus diperkukuh.

 

"Usaha ini dilaksanakan melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 atau DAKN 2030 bagi meningkatkan kemampanan, produktiviti dan nilai hasil sawit.

 

"Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan turut menyediakan RM63.5 juta untuk memperkukuh pasaran, mempromosikan pensijilan mampan dalam kalangan pekebun kecil dan menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat global," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di Kota Kinabalu hari ini.

 

Noraini berkata, sebelum minyak sawit sampai ke pasaran dunia, semuanya bermula di kebun apabila pekebun kecil mengusahakan lebih 15% daripada keluasan tanaman sawit negara.

 

Di kebun-kebun inilah pekebun kecil mencurahkan tenaga untuk menjaga tanaman dan menghasilkan bekalan sawit negara, sekali gus menjadikan sumbangan mereka amat penting kepada industri.

 

Noraini

 

Sehubungan itu, kebajikan dan kesejahteraan pekebun kecil perlu terus diberikan perhatian, termasuk melalui pengukuhan bantuan penanaman semula, latihan, teknologi, pendigitalan dan akses pasaran.

 

Menurut Noraini, melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), pekebun kecil dibantu untuk menggantikan pokok sawit tua menerusi penanaman semula menggunakan bahan tanaman berkualiti tinggi.

 

Langkah itu penting bagi memastikan kebun menjadi lebih produktif, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

 

"Matlamatnya jelas iaitu mewujudkan kebun yang lebih produktif serta memberikan pendapatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih terjamin kepada pekebun kecil," katanya.

 

Pekebun kecil mampu penuhi tuntutan pasaran global

Sementara itu Noraini berkata, tuntutan pasaran antarabangsa kini bukan sahaja tertumpu kepada produk yang dihasilkan, tetapi turut melibatkan cara produk berkenaan dihasilkan, termasuk aspek kemampanan, ketelusan dan kebolehjejakan.

 

Katanya, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi instrumen penting dalam memperkukuh kemampanan industri sawit negara.

 

Hampir 253,000 pekebun kecil persendirian di seluruh negara telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan keluasan melebihi 723,000 hektar.

 

Jumlah itu mewakili kira-kira 83.21% daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di seluruh negara.

 

Di Sabah pula, seramai 30,384 pekebun kecil telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan kawasan tanaman melebihi 188,000 hektar atau 97.17% daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di negeri itu.

 

Noraini berkata pencapaian tersebut menunjukkan pekebun kecil mampu memenuhi tuntutan pasaran global apabila diberikan bimbingan dan sokongan yang sesuai.

 

Manfaat teknologi

Pada masa sama, kerajaan sedang memperkukuh Sistem Kebolehjejakan Komoditi Malaysia (SKKM), dengan penggunaan teknologi digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT™ bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan minyak sawit.

 

“Teknologi bukan untuk menggantikan manusia. Teknologi perlu memudahkan kerja, meningkatkan kecekapan dan membuka lebih banyak peluang kepada pekebun kecil,” katanya.

 

Noraini turut menggesa semua pekebun kecil sawit yang layak supaya memohon BUDI Agri-Komoditi bagi membantu meringankan sebahagian kos pengurusan kebun.

 

Katanya, kejayaan industri sawit bukan hanya diukur melalui jumlah pengeluaran atau nilai eksport, sebaliknya apabila kemajuan industri turut meningkatkan hasil kebun, mengukuhkan pendapatan dan menjamin masa depan pekebun kecil. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved