Program tanam semula sawit hampir RM191 juta manfaatkan 4,380 pekebun kecil setakat 31 Ogos - Noraini

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 12:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Program tanam semula sawit hampir RM191 juta manfaatkan 4,380 pekebun kecil setakat 31 Ogos - Noraini Image from: Program tanam semula sawit hampir RM191 juta manfaatkan 4,380 pekebun kecil setakat 31 Ogos - Noraini johardy08/09/2026 - 12:31 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

PUTRAJAYA 8 Sept - Program tanam semula sawit kerajaan dengan jumlah pembiayaan hampir RM191 juta telah memberi manfaat kepada 4,380 pekebun kecil melibatkan kawasan seluas 12,197.11 hektar, dalam usaha meningkatkan pendapatan jangka panjang mereka menerusi produktiviti yang lebih tinggi.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Program Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil 2.0 (TSPKS) kekal antara keutamaan kementerian, berdasarkan pencapaian setakat 31 Ogos lalu.

 

“Kita mahu penanaman semula dilaksanakan secara sistematik dan menggunakan bahan tanaman berkualiti. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan produktiviti serta memberikan pulangan lebih baik kepada pekebun kecil,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini hari ini.

 

Majlis itu diserikan dengan ucaptama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


 

solar

 

ARTIKEL BERKAITAN: RM280.03 juta dicadang untuk pembiayaan tanam semula sawit pekebun kecil - PM Anwar

 

Noraini berkata, sokongan kepada pekebun kecil perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi bagi memastikan pertumbuhan industri turut memberi manfaat kepada golongan berkenaan.

 

Pertumbuhan industri mesti beri manfaat kepada pekebun kecil

Beliau berkata, dalam libat urus kerajaan dengan pemain industri, tumpuan bukan hanya diberikan kepada pertumbuhan syarikat atau peningkatan eksport, malah kepada pertumbuhan yang dapat memperluaskan pasaran dan meningkatkan permintaan terhadap hasil tempatan.

 

“Apabila industri berkembang, peluang kepada usahawan juga perlu bertambah dan manfaatnya perlu dirasai oleh pekebun kecil,” katanya.

 

Menurut Noraini, usaha meningkatkan produktiviti, mempercepat penggunaan teknologi dan menghasilkan produk nilai tambah perlu diberikan perhatian secara bersama.

 

Beliau berkata, kerjasama antara industri, penyelidik, usahawan dan komuniti amat penting bagi mempercepat penerapan teknologi serta membangunkan produk agrikomoditi.


 

solar

 

Lima keutamaan dicadang dalam Belanjawan 2027

Bagi Belanjawan 2027, Noraini berkata, kerajaan berhasrat memastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan lebih baik, manakala industri menggunakan teknologi yang lebih moden serta mewujudkan dan mengekalkan lebih banyak nilai daripada komoditi negara.

 

Bagi mencapai matlamat itu, KPK mencadangkan lima keutamaan strategik termasuk memperkasa pekebun kecil melalui input berkualiti, amalan pertanian baik dan program penanaman semula, selain mempercepat mekanisasi, automasi dan pendigitalan melalui teknologi pintar serta kecerdasan buatan (AI).

 

Kementerian juga mahu memperkukuh industri hiliran melalui penyelidikan, pengkomersialan inovasi dan penghasilan produk baharu berteknologi tinggi.

 

Keutamaan lain merangkumi pengukuhan aspek kemampanan, kebolehkesanan dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa, selain membangunkan bakat tempatan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), latihan kemahiran serta penyertaan golongan belia. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved