hamden08/09/2026 - 11:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM280.03 juta bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 di bawah Belanjawan 2027, sebagai sebahagian usaha meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya tahan sektor sawit negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu antara beberapa langkah yang sedang dipertimbangkan kerajaan bagi memastikan sektor agri-komoditi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
"Jumlah pekebun kecil adalah besar dan masalah mereka lebih mendesak. Oleh itu, saya tidak fikir kita wajar mengabaikan mereka.
"Keutamaan kerajaan bukan sahaja untuk membasmi kemiskinan serta membantu perusahaan kecil dan pekebun kecil, tetapi juga untuk memacu pertumbuhan ekonomi," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan menjana hasil lebih tinggi, sekali gus menyediakan bantuan yang lebih besar kepada rakyat.
Memperkasa usahawan hiliran
Selain TSPKS 2.0, kerajaan turut mencadangkan RM17.05 juta bagi memperkasa usahawan hiliran agri-komoditi, RM28.57 juta untuk Dana Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agri-Komoditi serta RM100 juta bagi projek jalan ladang persendirian pekebun kecil.
Kerajaan juga mencadangkan supaya Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) diteruskan bagi menyediakan bantuan pembiayaan kepada pekebun kecil yang layak dan berdepan kekangan modal.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kebajikan pekebun kecil, termasuk menaikkan Insentif Pengeluaran Getah sebanyak dua kali sepanjang pentadbirannya.
Insentif berkenaan dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram pada 2019 kepada RM2.70 pada 2023, sebelum ditingkatkan lagi kepada RM3 sekilogram pada 2024.
Bagi pekebun kecil sawit, kerajaan pada 2024 turut menambah baik mekanisme pembiayaan tanam semula dengan memperkenalkan model hibrid membabitkan 50% geran dan 50% pinjaman mudah pada kadar faedah serendah 2%, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Sementara itu, peruntukan bagi penyelenggaraan jalan ladang di seluruh negara meningkat kepada RM50 juta pada 2026, berbanding hanya RM8 juta pada 2022.
Setakat ini, kira-kira 270,000 pekebun kecil, termasuk pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf, menerima bantuan tunai sebanyak RM400 sebulan menerusi inisiatif Budi Agri-Komoditi. - DagangNews.com





