LANGKAWI - Kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan segera dan berani bagi memastikan pembangunan Pulau Langkawi terus diperkasa sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud menggesa perkara tersebut dilaksanakan kerana status Langkawi sebagai pulau bebas cukai bukan sekadar jenama pelancongan semata-mata.
Menurutnya, pulau tersebut bukan sahaja tumpuan dunia malah turut menjadi nadi ekonomi yang menyokong kelangsungan hidup rakyat setempat.
“Sektor pelancongan di pulau itu memberi kesan langsung kepada pelbagai pihak termasuk pengusaha hotel, restoran, peniaga kecil, pengendali e-hailing serta bot pelancong.
“Apabila pelancong datang, hotel penuh, restoran hidup, peniaga berniaga dan rakyat mendapat pendapatan. Justeru, dasar ekonomi yang menyokong sektor ini perlu diperkukuh,” katanya ketika membahaskan Titah Tuanku Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.
Beliau turut merujuk contoh beberapa destinasi antarabangsa seperti Dubai, Hong Kong dan Jeju Island yang menurutnya berjaya memanfaatkan insentif ekonomi dan dasar mesra pelancongan bagi memperkukuh sektor pelancongan masing-masing.
Amar Pared berkata, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Langkawi perlu berada di barisan hadapan sebagai antara destinasi utama negara dengan sokongan dasar yang lebih menyeluruh.
“Jika Langkawi dipandang enteng hari ini, negara akan membayar harganya pada masa akan datang,” ujarnya
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak hanya hadir dengan janji, sebaliknya membawa keputusan, peruntukan dan penyelesaian konkrit untuk pulau peranginan tersebut.
Antara cadangan dikemukakan ialah pelaksanaan inisiatif khas nasional untuk Langkawi merangkumi penambahbaikan sistem feri dan terminal, subsidi pengangkutan laut dan udara, pengukuhan status bebas cukai, serta naik taraf infrastruktur dan kebersihan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan promosi antarabangsa yang lebih agresif sempena Tahun Melawat Malaysia, insentif kepada pengusaha industri pelancongan serta galakan pelaburan baharu yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan.
Terdahulu, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keistimewaan asal Langkawi sebagai pulau bebas cukai penuh bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Baginda dilaporkan bertitah bahawa beberapa keistimewaan sebelum ini telah dikurangkan termasuk cukai ke atas kenderaan, produk berasaskan tembakau serta barangan tertentu sekali gus memberi kesan kepada daya tarikan pulau berkenaan.



