
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan penggubalan Akta Koroner sebagai sebahagian usaha merombak sistem siasatan kematian negara supaya lebih bebas, telus dan berkesan dalam mengenal pasti kelemahan sistemik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata undang-undang berkenaan akan menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh selain menetapkan tanggungjawab setiap pihak apabila sesuatu kematian dilaporkan.
Beliau berkata, sistem koroner tidak seharusnya hanya menentukan punca kematian, sebaliknya perlu mengenal pasti kelemahan dalam sistem sedia ada bagi memastikan pengajaran daripada sesuatu kes dapat digunakan untuk mengelakkan tragedi sama berulang.
“Jika sesuatu kematian mendedahkan kelemahan dalam sistem, penemuan koroner tidak sepatutnya terhenti dalam fail kerana pengajaran yang diperoleh daripada sesuatu kes perlu membantu kita melindungi nyawa orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tinjauan Pendapat Awam mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Azalina berkata kajian itu akan meneliti beberapa aspek Rang Undang-Undang Koroner yang dicadangkan, termasuk kategori kematian yang perlu dilaporkan, bidang kuasa serta kebebasan koroner dan prosedur yang seragam.
Katanya, kajian itu turut meneliti penyelarasan antara agensi, pemeliharaan bahan bukti, tempoh tindakan serta hak keluarga sepanjang proses siasatan.
“Bagaimanapun, parameter dasar bagi Rang Undang-Undang yang dicadangkan masih belum dimuktamadkan.
“Kerajaan mahu menggubal undang-undang ini dengan mendengar pandangan dan mendapatkan input daripada agensi kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan yang paling penting, rakyat sendiri kerana merekalah yang akan menerima manfaat terbesar,” katanya.
Azalina berkata Malaysia ketika ini sudah mempunyai kerangka inkues di bawah Kanun Tatacara Jenayah, khususnya Seksyen 328 hingga 341A, selain Arahan Amalan No. 2 Tahun 2019.
Bagaimanapun, katanya, siasatan kematian kini semakin kompleks dengan penglibatan bukti digital, analisis forensik, rekod perubatan, keselamatan institusi dan penyelarasan antara pelbagai agensi.
“Keperluan untuk melakukan reformasi undang-undang juga bukan perkara baharu kerana kelemahan dalam kerangka sedia ada sebelum ini sudah dibangkitkan oleh beberapa pihak dan melalui laporan terdahulu.
“Isu sama dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia, Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin dan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata kerajaan turut mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur untuk mengkaji semula undang-undang negara.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan mengemukakan cadangan reformasi secara sistematik, berterusan dan bebas berdasarkan bukti.
“Reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ad hoc atau hanya digerakkan apabila berlaku krisis, sebaliknya perlu dilaksanakan secara terancang supaya kerangka perundangan negara kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya. - Getaran, 3 September 2026





