
SHAH ALAM: Siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap insiden kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Kuala Lumpur, G. Kesiah Nisha yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas berdepan buli, ejekan serta kata-kata berunsur perkauman.
Timbalan Setiausaha PKR, G. Sivamalar berkata, polis perlu mengambil rekod aduan sedemikian dan mendedahkan tindakan susulan yang diambil supaya mereka yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud perbuatan buli, ugutan, penghinaan berunsur perkauman atau apa-apa kesalahan di sisi undang-undang, mereka yang bertanggungjawab.
Dalam kes Keziah Nisha, keluarga mendiang dipercayai sudah membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), dikatakan dibuat beberapa bulan sebelum tragedi itu. Maklumat itu amat serius dan perlu disahkan serta disiasat segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Keziah Nisha dilapor ditemukan meninggal dunia di dalam biliknya dekat rumahbya di Kuala Lumpur, kelmarin dan dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di sekolah yang dihadapinya selain tindakan perkauman.
Pelajar perempuan berusia 14 tahun itu dipercayai diejek sehingga emosinya didakwa tertekan dan takut dengan insiden buli berkaitan perkauman yang dihadapinya.
Dalam pada itu, Sivamalar memberitahu kes kematian akibat tekanan mental serta emosi terutama dalam kalangan generasi muda bukan perkara yang baharu dan perkara demikian amat membimbangkan.
“Pada Mac 2024, seorang pelajar perempuan tingkatan empat berusia 16 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Sungai Buloh. Pada Oktober tahun yang sama, seorang lagi pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan sekolah di Kuala Lumpur.
“Sebulan kemudian, seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah sekolah di Jelutong, Pulau Pinang.
“Pada Julai 2025, negara pula dikejutkan dengan kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar berusia 13 tahun di Sabah. Prosiding inkues kematiannya kemudiannya turut mengetengahkan isu berkaitan buli lisan, pemulauan dan buli siber,” ujarnya.
Malah, beliau memaklumkan data National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022 menunjukkan 13.1 peratus remaja yang dikaji pernah mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, 10 peratus pernah membuat perancangan dan 9.5 peratus melaporkan pernah melakukan percubaan ke arah itu.
“Setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza dan tidak wajar semuanya diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri. Namun rentetan tragedi yang melibatkan anak-anak usia persekolahan, bersama isu buli, tekanan emosi dan kesejahteraan mental, merupakan amaran yang tidak boleh lagi kita abaikan.
“Saya menyeru Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan satu Kerangka Nasional Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri Murid yang memberi tumpuan kepada pengesanan dan intervensi awal, pengukuhan perkhidmatan kaunseling sekolah, mekanisme aduan buli yang selamat dan sulit, serta laluan rujukan segera kepada profesional kesihatan mental bagi murid berisiko tinggi,” ujarnya. – UTUSAN
The post Siasat kematian Keziah Nisha secara menyeluruh, telus appeared first on Utusan Malaysia.






