Akta Koroner: Kerajaan mahu sistem lebih bebas, telus

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Akta Koroner: Kerajaan mahu sistem lebih bebas, telus

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan penggubalan undang-undang koroner khusus bagi mewujudkan sistem siasatan kematian yang lebih tersusun, bebas dan telus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu juga bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih jelas dan menyeluruh serta memperincikan tanggungjawab setiap pihak apabila sesuatu kematian dilaporkan.

Katanya, kerajaan mahu sistem koroner bukan sahaja berfungsi menentukan punca kematian, malah mampu mengenal pasti kelemahan dalam sistem bagi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.

“Jika sesuatu kematian mendedahkan kelemahan dalam sistem, dapatan koroner tidak seharusnya berhenti di dalam fail kerana pengajaran yang diperoleh daripada sesuatu kes itu seharusnya dapat membantu kita melindungi nyawa yang lain,” katanya di Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Azalina berkata, kajian berhubung penggubalan RUU berkenaan akan meneliti beberapa aspek termasuk kategori kematian yang wajib dilaporkan, bidang kuasa dan kebebasan koroner serta tatacara yang seragam.

Selain itu, katanya, penelitian turut melibatkan penyelarasan antara agensi, pemeliharaan bukti, tempoh tindakan serta hak keluarga dalam proses berkenaan.

“Bagaimanapun, parameter dasar bagi cadangan RUU itu masih belum dimuktamadkan.

“Kerajaan mahu menggubal undang-undang ini dengan mendengar pandangan dan mendapatkan input daripada agensi kerajaan, pengamal undang-undang, pakar akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan yang paling penting, rakyat sendiri kerana merekalah yang akan menerima manfaat terbesar,” katanya.

Menurut Azalina, Malaysia ketika ini sememangnya mempunyai kerangka pelaksanaan inkues seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah, khususnya Seksyen 328 hingga 341A serta Arahan Amalan Bilangan 2 Tahun 2019.

Namun, beliau berkata, realiti siasatan kematian kini semakin kompleks kerana melibatkan bukti digital, analisis forensik, rekod perubatan, keselamatan institusi serta penyelarasan pelbagai agensi.

“Keperluan kepada reformasi undang-undang itu juga bukan perkara baharu apabila kelemahan dalam kerangka sedia ada pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak dan menerusi laporan terdahulu.

“Perkara sama dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia, Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin serta Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kematian Teoh Beng Hock,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, kerajaan turut meneliti cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur untuk mengkaji undang-undang negara.

Katanya, suruhanjaya itu juga akan mengemukakan syor pembaharuan secara sistematik, berterusan, bebas dan berasaskan bukti.

“Reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ad hoc atau hanya digerakkan apabila timbul sesuatu krisis, tetapi perlu dilaksanakan secara terancang agar kerangka perundangan negara sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya. –UTUSAN

The post Akta Koroner: Kerajaan mahu sistem lebih bebas, telus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved