GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi tempoh sehingga 31 Mac 2026 kepada semua pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) untuk hadir ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyemak status pusat masing-masing.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco negeri pada Rabu bagi memastikan tiada pengusaha yang tercicir daripada senarai sedia ada, khususnya yang telah tampil mengemukakan permohonan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025.
Menurutnya, sekiranya premis didapati tidak tersenarai tetapi pengusaha dapat membuktikan bahawa mereka telah mengemukakan pendaftaran sebelum tarikh tersebut, pihak JPN dan JKM akan membuat pengesahan serta memasukkan premis berkenaan ke dalam senarai yang sewajarnya.
“Selepas tarikh akhir itu, tiada lagi rayuan akan dipertimbangkan.
"Saya berharap semua pengusaha tampil membuat semakan dalam tempoh yang diberikan kerana tempoh ini mencukupi untuk tujuan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, Komtar di sini pada Khamis.
Tambahnya, semua penjaga perlu mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP) bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab serta kualiti penjagaan berada pada standard yang ditetapkan.
Namun begitu, beliau mengakui masih terdapat pengasuh khususnya pengambilan baharu yang belum memenuhi syarat tersebut.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Saya akan mengarahkan JKM Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap serta semakan menyeluruh terhadap tahap pematuhan KAP dalam kalangan pengusaha dan pengasuh di semua TTPJ di negeri ini.
"Saya juga berharap pihak JPN menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan perkara sama seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang," katanya.
Siew Khim berkata, berdasarkan rekod sehingga 31 Disember 2025, terdapat 1,033 pusat TTPJ di Pulau Pinang dengan 808 daripadanya berdaftar manakala 225 lagi masih belum berdaftar.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 213 adalah taska dengan 152 berdaftar dan 61 tidak berdaftar, tadika pula sebanyak 557 dengan 473 berdaftar dan 84 tidak berdaftar manakala pusat jagaan berjumlah 263 dengan 183 berdaftar serta 80 tidak berdaftar.
"Keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana TTPJ melibatkan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya," katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah meluluskan satu inisiatif khas bagi membantu pengusaha mengesahkan status premis dan perniagaan mereka serta menggalakkan pematuhan terhadap standard operasi dan keselamatan yang ditetapkan.
"Antara insentif utama yang diluluskan ialah bagi 225 premis TTPJ yang telah tampil mendaftarkan premis serta perniagaan dengan JKM atau JPN sebelum 31 Disember 2025.
"Mereka akan menikmati pengecualian kebenaran merancang (KM) serta penetapan kadar tetap RM1,000 bagi bayaran fi pemprosesan untuk perakuan pendaftaran infrastruktur atau caj tukar guna," katanya lagi.
Beliau menambah, bagi permohonan baharu selepas 31 Disember 2025 pula, kerajaan negeri menyediakan diskaun 50 peratus bagi bayaran fi pemajuan untuk caj tukar guna bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan negeri turut memberi pengecualian denda sebanyak 10 kali ganda daripada fi permohonan ke atas TTPJ yang beroperasi tanpa kelulusan atau fi denda bagi kerja yang telah dijalankan yang dianggarkan bernilai sekitar RM10,000 bagi setiap pusat.
"Pengecualian turut diberikan bagi sumbangan menggantikan tempat letak kenderaan yang tidak disediakan serta sumbangan bagi penanaman pokok dan penyediaan landskap di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)," ujarnya.
Menurutnya, tempoh pemberian insentif itu bermula 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027 bagi memberi masa mencukupi kepada pengusaha mendapatkan pendaftaran.
Dalam tempoh tersebut, tindakan penguatkuasaan dan kompaun berkaitan isu pelesenan akan ditangguhkan kecuali melibatkan isu keselamatan seperti kecuaian atau pengabaian.
“Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya melibatkan isu keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk PBT, JKM, JPN dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan proses pendaftaran menjadi lebih jelas, cepat dan terselaras.
"Walaupun proses pendaftaran dipermudahkan, standard keselamatan tidak akan sesekali dikompromi.
“Mana-mana pengusaha yang melanggar undang-undang, cuai menjalankan tanggungjawab atau melakukan penderaan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka akan berdepan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, selepas tempoh pemutihan itu berakhir, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang masih beroperasi tanpa kelulusan bermula 1 Mac 2027.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye berkata, semua pengusaha TTPJ digesa mengambil peluang daripada insentif pendaftaran yang diumumkan bagi melaksanakan proses pemutihan serta memastikan premis mereka beroperasi secara sah.
Menurutnya, inisiatif insentif yang diperkenalkan itu merupakan peluang terbaik kepada pengusaha untuk tampil mendaftarkan premis masing-masing sekali gus mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Pengusaha perlu mengambil tanggungjawab terhadap peluang yang diberikan memandangkan kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bentuk insentif bagi memudahkan proses pendaftaran.
"Langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak premis tampil berdaftar dan beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa," ujarnya.



