Kerajaan Sabah beli 25% ekuiti dalam kemudahan PETRONAS bernilai AS$3.1 bilion di Sipitang

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 4:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan Sabah beli 25% ekuiti dalam kemudahan PETRONAS bernilai AS$3.1 bilion di Sipitang

image is not available

17/07/2025 - 16:29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), akan mengambil alih 25% ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) PETRONAS bernilai AS$3.1 bilion (RM13.17 bilion) di Sipitang.

Ia adalah susulan pemeteraian perjanjian utama antara SMJ Energy dan PETRONAS di Malaysia Petroleum Club hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah dicapai.

Pada masa sama, ia akan merangsang pertumbuhan industri dan keselamatan tenaga, serta mewujudkan peluang baharu bagi memacu kemajuan negeri.

“Kemudahan ZLNG, dengan kapasiti dua juta tan setahun (MTPA), merupakan tambahan yang signifikan kepada landskap LNG Malaysia.

“Dibina berhampiran pantai di Sipitang, kemudahan yang kini dalam pembinaan dijangka memulakan operasi pada separuh kedua 2027.

“Projek ini melengkapkan jejak LNG yang semakin berkembang di Sabah, selain dua lagi kemudahan LNG terapung, PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA), yang kini beroperasi di perairan Sabah,” menurut kenyataan Jabatan Ketua Menteri hari ini.

Kerajaan Sabah turut memaklumkan, ia berhasrat untuk memperoleh 40% kepentingan penyertaan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan proses usaha wajar dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2025.- DagangNews.com

featured standard