Malaysia berpotensi terima pelaburan lebih RM30 bilion dari China pada 2025, kata Juwai

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berpotensi terima pelaburan lebih RM30 bilion dari China pada 2025, kata Juwai

image is not available

16/07/2025 - 12:50

Gambar: Naim Aziz/DagangNews Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Malaysia berpotensi menerima satu lagi pelaburan besar melebihi RM30 bilion dari China pada tahun ini didorong keyakinan pelabur dan hubungan ekonomi yang semakin baik antara kedua-dua negara, menurut data baharu Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, lonjakan pelaburan itu berlaku susulan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia pada April 2025, di mana perjanjian penting telah dimeterai dalam sektor semikonduktor dan penerbangan.

Katanya, lawatan tersebut dilihat sebagai detik penting yang telah menetapkan hala tuju bagi peningkatan aktiviti pelaburan langsung asing (FDI) sepanjang tahun ini.

“Pada 2024, pelaburan dari China ke Malaysia mencecah RM31 bilion – lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan pada 2023 dan tertinggi sejak tahun 2015.

“Set data baharu mengenai FDI dari China ini tidak pernah didedahkan sebelum ini, dan kami mengumumkannya bagi menunjukkan skala aliran pelaburan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Kashif berkata, unjuran pelaburan RM30 bilion pada 2025 itu dipacu minat yang semakin naik terhadap sektor teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

“Tahun ini, kami menjangkakan sektor pembuatan bateri dan komponen solar akan menjadi penyumbang utama kepada kemasukan modal tersebut,” katanya.

Beliau berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai contoh utama penciptaan nilai jangka panjang dengan projek itu diuruskan oleh China Communications Construction, menggaji lebih daripada 16,000 rakyat Malaysia secara langsung termasuk kontraktor tempatan, syarikat Bumiputera dan melaksanakan 40% daripada kerja-kerja awam.

Katanya, ECRL dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 3.8%, dengan potensi mewujudkan lebih 90,000 pekerjaan baharu. Sebagai perbandingan, pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 5.1% pada tahun 2024 telah menghasilkan kira-kira 127,000 pekerjaan sektor swasta.

“Manfaat pelaburan asing bukan hanya untuk jangka pendek tetapi ia membantu membina infrastruktur, mencipta pekerjaan, memindahkan pengetahuan dan meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia," katanya.

Kashif berkata, Johor merupakan destinasi utama bagi projek perindustrian dan logistik berskala besar dan ia bukan sahaja dapat dilihat dalam data tetapi juga dalam angka yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bulan lalu.

Beliau berkata, Zon Ekonomi Khas (SEZ) merupakan tumpuan utama bagi pelanggan korporat dari China, terutamanya dalam kalangan pengeluar.

"Kami menerima soalan yang sama daripada syarikat demi syarikat yang sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Zon Ekonomi Khas.

"Tiga soalan utama yang sering diajukan oleh syarikat-syarikat China mengenai zon ini adalah berkaitan dengan insentif cukai utama yang ditawarkan, zon utama manakah yang paling sesuai dengan industri mereka, dan kepantasan proses pelepasan kargo rentas sempadan," katanya.

Sementara itu, Kashif berkata, aliran masuk pelaburan langsung yang kukuh akan memberi kesan besar kepada pasaran hartanah dengan hartanah perindustrian dan logistik akan mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, kilang keluli baharu dan kemudahan bateri merupakan contoh projek yang mendorong lonjakan permintaan terhadap tanah perindustrian berskala besar. - DagangNews.com

featured standard