Kerajaan San Francisco Mula Menggantikan Sistem Cakera Liut Pada Pengangkutan Rel Mereka

TechnologyDigital
28 Oct 2024 • 3:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa kerajaan-kerajaan seperti Jepun dan Jerman akan mula melaburkan wang untuk menggantikan sistem komputer usang mereka yang masih menggunakan cakera liut sebagai cara storan dan mengemaskini sistem dengan teknologi yang lebih moden.

Kini tiba giliran kerajaan San Francisco pula untuk mengemaskini sistem pengangkutan tempatan mereka dengan pelaburan berjumlah $700 juta (~RM3 bilion) yang nampaknya akan dimanfaatkan dalam dua bahagian.

Pertama ialah pelaburan sebanyak $212 juta yang sudahpun dimeterai melalui perjanjian dengan Hitachi Rail untuk menaiktarafkan sistem rel mereka. Pelannya ialah untuk menggantikan sistem yang menggunakan cakera liut 5.25 inci sehingga hari ini dengan sebuah sistem yang lebih moden dan menggunakan cakera keras ataupun SSD sebagai pengganti.

image is not available

Dalam pada itu, sebanyak $488 juta pula akan dibelanjakan untuk menggantikan komponen-komponen lain sistem kabel yang digunakan sebelum ini untuk menghantar data dari mesin pelayan ke tren-tren tersebut. Ia juga dilaporkan bahawa sistem kabel yang digunakan ini adalah lebih perlahan berbanding dengan sambungan internet 56K yang digunakan pada era 90an.

Bahagian-bahagian lain yang nampaknya akan digantikan termasuklah sistem komputer yang mengawal komponen pergerakan dan brek tren-tren ini. Penambahbaikan ini dilihat masih lagi sedang melalui proses pengesahan oleh kerajaan San Francisco dan akan disahkan kelak.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa kerajaan tersebut telah memulakan proses penaiktarafan ini pada 2018, dan sepatutnya siap pada tahun 2028. Akan tetapi, kini, nampaknya masa siap penaiktarafan ini adalah dijangka pada sekitar 2033 ke 2034 kelak.

Dengan ini, nampaknya semakin banyak negara telah menghentikan penggunaan teknologi legasi seperti cakera liut dengan beralih kepada sistem-sistem yang lebih moden.