Kerajaan sasar kurangkan insiden pekerjaan melalui OSHMP30

LocalHealth & Fitness
28 Jul 2026 • 4:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan sasar kurangkan insiden pekerjaan melalui OSHMP30

BANGI: Kerajaan menyasarkan kadar kecederaan maut pekerjaan dikurangkan kepada 2.20 kes bagi setiap 100,000 pekerja.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Hazlina Yon berkata, sasaran itu menerusi pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026-2030 (OSHMP30).

Menurut beliau, pelaksanaan pelan itu turut disasar menurunkan kadar kecederaan pekerjaan kepada 1.60 kes bagi setiap 1,000 pekerja dan kadar penyakit pekerjaan kepada 59.6 kes bagi setiap 100,000 pekerja.

“Melalui JKKP, kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) memperluaskan program pendidikan dan advokasi serta meningkatkan kerjasama strategik bersama industri.

“Selain itu, kita juga akan meneruskan kerjasama dengan kesatuan sekerja dan institusi pendidikan bagi memperkukuh ekosistem keselamatan serta kesihatan pekerjaan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Peluncuran OSHMP30.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue itu disempurnakan Oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan.

OSHMP30 mempunyai enam teras strategik iaitu memperkukuh tatakelola KKP, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pekerja serta mempercepat inovasi dan pendigitalan KKP.

Selain itu, memperkasa Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor berisiko tinggi, mempersiapkan tenaga kerja menghadapi cabaran masa hadapan serta membudayakan KKP melalui pembangunan kapasiti, latihan dan penyelidikan.

Hazlina berkata, OSHMP30 dibangunkan bagi memastikan sistem KKP negara sentiasa relevan dengan perubahan landskap pekerjaan dan cabaran masa hadapan.

“Transformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan perubahan budaya, perkongsian ilmu, inovasi dan penglibatan aktif semua pihak dalam membina persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mampan.” katanya.

Tambahnya, JKKP berharap pelaksanaan OSHMP30 akan menjadi pemangkin kepada gerakan nasional yang lebih menyeluruh dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Ia supaya sekali gus menyokong aspirasi Malaysia Madani untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat, sihat, inklusif dan mampan,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan sasar kurangkan insiden pekerjaan melalui OSHMP30 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved