KESUMA tegas perkukuh keselamatan pekerja, budaya kerja selamat perlu diperkasa

LocalHealth & Fitness
28 Jul 2026 • 7:31 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) sebagai dokumen strategik untuk memacu transformasi sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

OSHMP30 dilancarkan sempena penutupan KKP 2026

Pelancaran OSHMP30 disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan sempena Majlis Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Kajang.

Image from: KESUMA tegas perkukuh keselamatan pekerja, budaya kerja selamat perlu diperkasa

OSHMP30 bukan sekadar dokumen dasar

Difahamkan, minggu KKP 2026 tersebut bertemakan “Halatuju Selepas 150 Tahun KKP: Bagaimana Keadaan Kerja Anda?” menghimpunkan wakil kerajaan, majikan, pekerja, badan profesional, ahli akademik dan pemain industri bagi membincangkan cabaran baharu dunia pekerjaan serta memperkukuh budaya pencegahan di tempat kerja.

Menurut Datuk Khairul Firdaus, perubahan pesat dunia pekerjaan akibat teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi gig, perubahan iklim dan risiko psikososial memerlukan pendekatan baharu dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“OSHMP30 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi pelan tindakan nasional untuk memastikan setiap tempat kerja di Malaysia menjadi lebih selamat, sihat, berdaya tahan dan mampan. Kejayaannya memerlukan komitmen bersama kerajaan, majikan, pekerja serta semua pemegang taruh,” ujarnya.

Pelan digerakkan melalui 6 teras strategik

OSHMP30 juga memberi penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus KKP, pembudayaan pencegahan, penggunaan teknologi dan pendigitalan, pembangunan kompetensi tenaga kerja serta pengurusan risiko secara proaktif melalui kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Pelan tersebut digerakkan melalui enam teras strategik termasuk memperkukuh tatakelola KKP, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pekerja, mempercepat inovasi serta pendigitalan KKP, memperkasa PMKS, mempersiapkan tenaga kerja menghadapi cabaran masa depan dan membudayakan KKP menerusi latihan serta penyelidikan.

Image from: KESUMA tegas perkukuh keselamatan pekerja, budaya kerja selamat perlu diperkasa

OSHMP30 dibangunkan bagi memastikan sistem KKP sentiasa relevan

Dalam pada masa yang sama, kerajaan turut menetapkan sasaran menjelang 2030 untuk mengurangkan kadar kecederaan maut pekerjaan kepada 2.20 kes bagi setiap 100,000 pekerja, kadar kecederaan pekerjaan kepada 1.60 kes bagi setiap 1,000 pekerja serta kadar penyakit pekerjaan kepada 59.8 kes bagi setiap 100,000 pekerja.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKP Malaysia, YBrs. Ir. Ts. Hajah Hazlina binti Yon menyatakan, OSHMP30 ini dibangunkan bagi memastikan sistem KKP negara sentiasa relevan dengan perubahan landskap pekerjaan.

“Transformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan semata-mata.
“Ia memerlukan perubahan budaya, perkongsian ilmu, inovasi dan penglibatan aktif semua pihak dalam membina persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mampan,” katanya.

Image from: KESUMA tegas perkukuh keselamatan pekerja, budaya kerja selamat perlu diperkasa

Susulan daripada itu, melalui pelaksanaan OSHMP30, JKKP berharap pelan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam mewujudkan tempat kerja lebih selamat, sihat, inklusif dan mampan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved