Kerajaan sedia cadang isytihar darurat kawasan catat IPU lebih 400

LocalEnvironment
5 Sep 2026 • 2:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan sedia cadang isytihar darurat kawasan catat IPU lebih 400
Arthur ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Projek Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Basong pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA BERANG - Kerajaan bersedia mencadangkan pengisytiharan darurat ke atas mana-mana kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 400, selaras dengan prosedur operasi standard pengurusan jerebu di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu boleh dipertimbangkan sekiranya bacaan IPU berada pada tahap sangat berbahaya, sebagaimana berlaku di Serian, Sarawak yang merekodkan bacaan melebihi 500 sehingga membawa kepada pengisytiharan darurat.

"Kalau lebih daripada 400 ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan untuk diisytiharkan darurat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Tahun 2026 di Dataran Kampung Basong di sini pada Sabtu.

Arthur berkata, setakat ini hanya tiga daripada 68 stesen pemantauan IPU di seluruh negara yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman di Sarawak, manakala Serian merekodkan bacaan pada tahap berbahaya.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat akan terus berkuat kuasa sehingga bacaan IPU menunjukkan penurunan ke paras yang lebih selamat dengan langkah keselamatan perlu diambil sepanjang tempoh tersebut seperti penutupan sekolah dan pemakaian pelitup muka.

Dilapor semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat di seluruh Bahagian Serian susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan semalam di Sarawak dan utara Semenanjung iaitu di Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif dengan beberapa kawasan direkodkan hujan bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi.

Beliau berkata, Malaysia juga telah menerima kebenaran bertulis daripada kerajaaan Indonesia yang membolehkan aset udara negara memasuki ruang udara republik tersebut bagi tujuan operasi pembenihan awan.

"Kita telah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak dan kadang-kadang untuk operasi yang lebih meluas, aset udara kita perlu merentas sempadan untuk ‘tembak’ ke awan dan angin akan membawa awan tersebut kawasan negara kita,” katanya.

Selain itu, Arthur berkata, Malaysia juga telah menawarkan aset serta tenaga kerja untuk membantu proses pemadaman kebakaran terbuka yang sedang berlaku di Indonesia, namun setakat ini belum ada sebarang permintaan rasmi daripada republik tersebut berhubung perkara itu. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved