Kerajaan sedia pertimbang dedah siasatan pemilikan saham Azam Baki tertakluk peruntukan undang-undang, Parlimen diberitahu

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 11:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan sedia pertimbang dedah siasatan pemilikan saham Azam Baki tertakluk peruntukan undang-undang, Parlimen diberitahu Image from: Kerajaan sedia pertimbang dedah siasatan pemilikan saham Azam Baki tertakluk peruntukan undang-undang, Parlimen diberitahu hamden30/10/2026 - 11:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mendedahkan laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada keperluan, dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

 

"Kerajaan akan mempertimbangkan perkara tersebut sewajarnya, sekiranya terdapat keperluan, dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta, serta kepentingan pihak-pihak yang berkaitan.," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis.

 

 

 

 

 

 

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai dapatan siasatan Jawatankuasa Khas mengenai dakwaan pemilikan saham Azam Baki dan adakah tindakan akan diambil terhadap beliau hasil siasatan tersebut, serta adakah Kerajaan akan menyiarkan laporan tersebut.

 

Azalina berkata, isu berhubung pemilikan dan perisytiharan harta, termasuk pegangan saham mantan Pesuruhjaya SPRM, telah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026.

 

Katanya, Jawatankuasa berkenaan telah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, manakala hasil siasatan turut dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

 

Beliau menambah, perkara itu juga pernah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat menerusi soalan pada 25 Jun 2026.

 

 

 

 

Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara berkenaan yang wajar dimaklumkan kepada umum, pengumuman akan dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

 

Pengumuman itu akan dibuat sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat berkenaan pada 31 Mac 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved