hamden29/10/2026 - 15:21 Lakaran artis kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan Limbang. - Gambar/ Facebook JKR Sarawak KUALA LUMPUR 29 Okt - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM28.7 juta bagi pembinaan kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang, Sarawak, termasuk tiga blok kuarters kediaman bagi meningkatkan kemudahan operasi serta kebajikan warga kerjanya.
Majlis pecah tanah projek pembinaan kompleks berkenaan disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Rabu, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Pembangunan itu bertujuan menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif, selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk Limbang dan kawasan sekitarnya.
"Projek berkenaan dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan. Bagaimanapun, kontraktor diharap dapat mempercepatkan tempoh pelaksanaan kepada 18 bulan tanpa menjejaskan spesifikasi dan kualiti pembinaan," lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Dalam ucapannya, Anthony Loke berharap reka bentuk dalaman kompleks baharu itu mengadaptasi konsep moden seperti pejabat JPJ di Terminal Bersepadu Selatan dan Putrajaya bagi mewujudkan suasana perkhidmatan yang lebih selesa serta mesra pelanggan.
Beliau turut mencadangkan supaya tapak kompleks itu berpotensi dimanfaatkan bagi menempatkan pusat pemeriksaan kenderaan pada masa hadapan.
Cadangan itu bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan kenderaan di satu lokasi. - DagangNews.com





