Selangor perkenal Soft Landing Incentive Programme untuk pelabur

Business & Finance
5 Mar 2024 • 9:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperkenalkan Selangor Investors Soft Landing Incentive Programme, skim insentif baharu untuk membantu pelabur asing dan domestik yang berpotensi memilih lokasi yang sesuai untuk projek mereka di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han (gambar) berkata program insentif itu, yang akan diselaraskan oleh Invest Selangor, bertujuan untuk menyediakan platform dan sokongan yang menyeluruh kepada pelabur baharu atau berpotensi semasa mereka meninjau ekosistem perniagaan Selangor.

“Program insentif itu turut bertujuan untuk mengoptimumkan sumber kajian kebolehlaksanaan pelabur dan membantu mempercepat pelaksanaan projek,” katanya semasa memperkenalkan program itu di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ng berkata program itu terdiri daripada dua pakej - fasa sebelum pelaburan dan fasa pascapelaburan serta untuk melayakkan diri kepada fasa sebelum pelaburan, pelabur dikehendaki memenuhi pelbagai kriteria termasuk menjadi pelabur kali pertama di Selangor.

“Selain itu, pelaburan atau perniagaan mereka perlu daripada tujuh kluster pelaburan yang disasarkan oleh Invest Selangor, iaitu elektrik dan elektronik (E&E); makanan dan minuman (F&B); sains hayat; peralatan pengangkutan; mesin dan peralatan; perkhidmatan logistik dan pelaburan digital,” katanya.

Bagi fasa pascapelaburan, Ng berkata pelabur yang berpotensi perlu menyediakan sama ada perjanjian jual beli yang ditandatangani atau perjanjian sewa lokasi di Selangor.

Katanya program itu menawarkan empat program sokongan yang komprehensif termasuk sokongan ekosistem perniagaan di Selangor oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor serta sokongan kerja bersama atau pejabat oleh Cyberview Sdn Bhd dan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec).

Program itu turut menawarkan kadar korporat istimewa untuk sokongan penginapan daripada DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City; Concorde Hotel Shah Alam; Marriott-Courtyard Hotel Setia Alam; Wyndham Acmar Klang; Best Western i-City Hotel dan Dash Box Hotel Cyberjaya.

Ng berkata program itu bermula pada awal bulan ini dan akan diteruskan sehingga Disember ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat terkini mengenai program insentif ini, pelabur boleh menghubungi Invest Selangor melalui laman webnya - www.investselangor.my atau e-mel selangorsoftlanding@investselangor.my. -Bernama